BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Usaha kepelbagaian ekonomi memerlukan strategi yang jelas, pelaksanaan yang terselaras serta komitmen yang berterusan dalam meneruskan perjalanan kita ke arah Wawasan Brunei 2035.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee pada Perbahasan Peringkat Dasar bagi Rang Undang-undang dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat turut merakamkan penghargaan terhadap pendekatan Whole of Nation semasa pandemik COVID-19 yang menunjukkan kerjasama bersepadu antara kerajaan, agensi, sektor swasta dan masyarakat, serta menekankan bahawa semangat kerjasama tersebut perlu diteruskan bagi menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Yang Berhormat dalam pada itu, turut menekankan keperluan kemampanan fiskal, pengukuhan sistem kutipan hasil serta pelaksanaan Fiscal Consolidation Programme 2.0 bagi memastikan perbelanjaan kerajaan dilaksanakan secara berhemah.
Dalam hal ini, Yang Berhormat juga menyentuh mengenai langkah seperti penubuhan Agri-Tech Food Zone Brunei-Singapura, pengkorporatan entiti serta pembaharuan kawal selia untuk meningkatkan kecekapan ekonomi, di samping menekankan kepentingan perancangan strategik dan akauntabiliti dasar melalui pemantauan pelaksanaan dan petunjuk prestasi.
Yang Berhormat seterusnya menekankan potensi sektor pelancongan dan pelancongan kapal persiaran, termasuk pelaburan seperti Borneo Eco-Resort, De’ Patoi Restaurant dan Abode Resort and Spa, serta keperluan penyelarasan agensi bagi menarik semula pelancong dan menyokong Wawasan Brunei 2035.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


