BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 15 Mac. – Usaha memperkukuh ekonomi negara bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak di sektor kerajaan dan sektor swasta serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini.
Pendekatan kerajaan melalui semakan subsidi pengkorporatan ‘Public Private Partnership’ dan pemodenan sistem kutipan hasil adalah langkah yang tepat. Namun pendekatan-pendekatan ini memerlukan KPI yang telus, laporan berkala dan pemantauan yang konsisten untuk memastikan kejayaannya.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam menyatakan perkara tersebut pada Perbahasan Peringkat Dasar pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026 yang berlangsung pada hari keempat, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat dalam pada itu, menyambut baik perkembangan positif syarikat-syarikat FDI yang telah dan akan beroperasi di negara ini. Dengan 18 lagi projek FDI baharu yang dijangka akan menjana 3,000 peluang pekerjaan antara tahun 2026 hingga 2029 dan juga mewujudkan pelbagai peluang perniagaan kepada perusahaan tempatan.
Menurut Yang Berhormat, ini adalah khabar gembira dan peluang besar untuk anak-anak tempatan yang mencari pekerjaan. Namun bagi memastikan agar manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat kaola mencadangkan agar maklumat pekerjaan-pekerjaan baharu yang akan datang ini diuar-uarkan lebih awal melalui platform-platform rasmi kerajaan untuk pengetahuan dan persiapan awal mengenainya.
Di samping itu, latihan-latihan kemahiran yang berkaitan juga boleh mula dirancang dan dibukakan kepada mereka yang berminat. Roadmap penyertaan tenaga kerja tempatan dalam projek-projek FDI juga perlu disediakan untuk rujukan mengenainya.
Yang Berhormat dalam pada itu, menekankan bahawa peruntukan di bawah RKN12 mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesinambungan negara dan kesejahteraan rakyat melalui tiga keutamaan utama iaitu memperkukuh kestabilan fiskal, memperkasa ekonomi dan menjamin kelestarian sosial. Yang Berhormat turut menegaskan kepentingan KPI yang telus, pemantauan konsisten serta pengurusan projek yang cekap bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi impak nyata.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat turut menyentuh peluang negara dalam ekonomi hijau melalui kedudukan geografi dan nilai agama bagi menarik pelaburan asing, di samping menekankan perlindungan sosial dan sokongan keluarga khususnya kanak-kanak serta keperluan menangani risiko eksploitasi dan penyalahgunaan siber.
Yang Berhormat seterusnya menekankan tanggungjawab bersama rakyat dan kerajaan untuk memastikan setiap peruntukan digunakan secara bijak dengan intervensi awal terhadap projek lemah dan tumpuan kepada strategi berimpak kepada kesejahteraan masyarakat.
Oleh itu, usaha memperkukuh perlindungan sosial serta sokongan kepada keluarga khususnya bagi golongan wanita dan kanak-kanak hendaklah menjadi keutamaan. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi cabaran-cabaran baharu yang timbul seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap sosial.
Yang Berhormat dalam ucapannya turut mengingatkan bahawa dalam dunia digital yang terkini, ancaman-ancaman seperti eksploitasi dalam talian, penyalahgunaan teknologi dan buli siber semakin berleluasa melalui platform digital memerlukan pendekatan yang lebih holistik, merentas kementerian dari aspek-aspek perundangan, penguatkuasaan dan kesedaran masyarakat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


