14.03.26 Keselamatan lapangan terbang, operasi penerbangan diperkukuh

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Operasi dan pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) adalah berpandukan piawaian dan garis panduan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa, iaitu International Civil Aviation Organization yang juga dikenali sebagai ICAO.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan perkara itu bagi menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong mengenai ciri-ciri keselamatan fizikal dan digital di LTAB pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat memaklumkan bahawa operasi dan pengurusan LTAB adalah berpandukan piawaian dan garis panduan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa iaitu ICAO.

“Dalam hubungan dengan ini, konvensyen mengenai penerbangan awam antarabangsa mempunyai lampiran atau ‘annexes’ yang mengandungi piawaian dan amalan disyorkan atau ‘standards and recommended practices’ yang mewujudkan garis asas global untuk keselamatan dan kecekapan penerbangan yang perlu dipatuhi. Khususnya Annex 17 adalah berkaitan dengan keselamatan penerbangan awam, Annex 14 mengenai pengurusan ‘aerodrome’ dan Annex 19 berkaitan ‘safety management’,” jelas Yang Berhormat.

Pendekatan ini jelas Yang Berhormat lagi adalah bagi memastikan aspek pencegahan pengesanan dan tindak balas terhadap sebarang ancaman dilaksanakan secara bersepadu dan sistematik. Dari segi tadbir urus keselamatan lapangan terbang adalah dipimpin oleh Seksyen Sekuriti Penerbangan di bawah Jabatan Penerbangan Awam yang bertanggungjawab merangka, menyelaras dan memantau pelaksanaan program keselamatan awam negara.

Bahagian ini juga kata Yang Berhormat bagi memastikan kawalan akses orang perseorangan dan kenderaan ke kawasan larangan dan kawasan ‘airside’ dilaksanakan secara ketat melalui sistem pas keselamatan, pemeriksaan latar belakang serta audit pematuhan yang berterusan. Kawalan ini penting bagi menjamin hanya individu yang diberi kuasa sahaja dibenarkan memasuki kawasan operasi penerbangan.

Di samping itu jelas Yang Berhormat lagi, kehadiran Pasukan Polis Diraja Brunei yang bertugas sebagai polis lapangan terbang memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan undang-undang, rondaan keselamatan, kawalan ketenteraman awam serta tindak balas segera terhadap sebarang insiden jenayah atau ancaman keselamatan. Fungsi ini diperkukuhkan lagi dengan melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan fizikal serta sistem kamera litar tertutup di kawasan terminal, perimeter dan zon berkepentingan.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI