14.03.26 Projek pembinaan perlu melalui proses penilaian, pematuhan SOP

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac. – Kelulusan projek pembinaan perlu melalui proses penilaian dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (Standard Operating Procedures – SOP) termasuk pertimbangan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) sebelum diluluskan.

Penyelenggaraan kemudahan awam serta pembaikan beberapa flat kosong di bawah Kementerian Pembangunan turut dilaksanakan mengikut keutamaan dan sumber yang ada supaya dapat dimanfaatkan semula oleh pemohon perumahan dan penduduk.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid semasa menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, juga Ketua Kampung Putat, Daerah Brunei dan Muara berhubung cabaran utama dalam penyediaan kemudahan awam yang setelah dibina kurang dimanfaatkan pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda menjelaskan memang ada terdapat bangunan-bangunan yang digunakan tetapi pada masa ini tidak dapat dimanfaatkan seperti tujuannya kerana bangunan-bangunan sudah lama dan terdapat kerosakan-kerosakan yang memerlukan ‘maintenance’ dan ini tertakluklah kepada ‘resources-resources’ yang ada serta mengikut keutamaan bagi memperuntukkan, untuk memperbaiki bangunan-bangunan tersebut.

“Dari segi penyediaan dan pengurusan kemudahan awam juga tertakluk kepada bidang kuasa serta tanggungjawab agensi agensi yang berkenaan. Bagi kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak misalnya, ini adalah di bawah kawal selia dan penjagaan Kementerian Pembangunan. Memang ‘kitani’ dapat melihat berapa taman-taman permainan kanak-kanak di kawasan-kawasan perumahan di kesemua daerah yang telah rosak, usang dan memerlukan pemulihan semula,” ujar Yang Berhormat Menteri.

Yang Berhormat seterusnya berkata, kerja-kerja ini memang dibuat perancangan untuk dibuat pemulihan dan pemeliharaan yang berpanjangan bagi memudahkan perkara-perkara ini akan dapat terus dinikmati oleh penduduk-penduduk di kawasan-kawasan setempat, mengikut juga keutamaan ‘resources’ yang ada.

“Bagi setiap projek di bawah kawalan Kementerian Pembangunan, ia disejajarkan dengan tema belanjawan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, iaitu ‘Bersama menjayakan Wawasan Brunei 2035’ secara mampan bagi menjamin kesejahteraan rakyat”, jelas Yang Berhormat.

Oleh itu ujar Yang Berhormat, projek diperlukan untuk memenuhi kriteria-kriteria senarai melalui beberapa penilaian dan semak RKN penelitian keutamaan seperti nilai tambah keperluan projek, statistik aduan dan hasil kajian adalah di antara perkara perkara yang menentukan keutamaan untuk dibuat penyelenggaran bagi memulihkan fasiliti-fasiliti ini.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI