13.03.26 Perlunya pelan tindakan berstrategik, pendekatan senegara

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 13 Mac. – Kita perlu sentiasa peka mengenai pergolakan geopolitik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global seperti terputusnya rantaian perbekalan, perhubungan, kenaikan harga komoditi, keselamatan, makanan dan perdagangan, sebagaimana yang dititahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Kesemua ini memerlukan pelan tindakan berstrategik dan pendekatan senegara bagi mengurangkan apa jua impak dari sebarang ketidakpastian serta ‘domino effect’.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof menekankan demikian semasa menyokong perbahasan usul yang dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman pada Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 2026, yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.

“Alhamdulillah, apabila kita bersama-sama mengamati serta menghayati akan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah sangat berpandangan jauh, merangkumi pelbagai hikmah nasihat yang amat tinggi nilainya di mana mencerminkan kebijaksanaan, kewibawaan, keprihatinan dan wawasan baginda dalam memimpin serta menerajui pemerintahan Negara Brunei Darussalam, yang sangat penting untuk digalas, diambil perhatian yang serius seterusnya diikuti dengan tindakan yang sewajarnya demi menjamin kemaslahatan serta kesejahteraan rakyat dan negara.

“Alhamdulillah, abiskaola dan juga Ahli-ahli MMN Yang Dilantik, insyaaAllah akan meneruskan dalam menanai kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Apa yang abiskaola amalkan dengan mengadakan sesi muzakarah dan juga perjumpaan dan bahkan bukan saja dengan kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan akan tetapi sesi dialog dan perjumpaan juga melibatkan masyarakat, ahli-ahli profesional, NGO dan juga dewan-dewan perniagaan,” tambahnya lagi.

Yang Berhormat Ahli MMN menjelaskan dapatan-dapatan serta ‘feedback’ daripada orang ramai telah pun dikongsikan kepada pihak kerajaan. Ini selaras dengan kurnia titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana baginda ingin Ahli-ahli MMN berganding bahu dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian terhadap cabaran-cabaran dan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.

“Ke arah ini, ada baiknya penglibatan bersama-sama Ahli-ahli MMN perlu dipertimbangkan dalam apa jua perancangan dan merangka dasar dan strategi pembangunan negara khasnya ke arah matlamat Wawasan Brunei 2035,” ujar Yang Berhormat.

Bukan itu sahaja, hasrat murni baginda juga katanya adalah untuk melihat negara ini bergerak maju, berinovasi, lebih agresif serta ketahanan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara ke arah khasnya matlamat Wawasan Brunei 2035. Ini termasuk juga terus menerokai pelaburan baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi yang boleh merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan usaha mengukuhkan fiskal kerajaan.

Dalam mendokong dan menanai kurnia titah baginda tersebut, Yang Berhormat berpandangan dan terus-menerus menyarankan pihak-pihak yang berkepentingan khususnya dalam kerajaan supaya melaksanakan transformasi yang terkandung dalam ketiga-tiga ‘blueprint’ iaitu Manpower Blueprint, Economic Blueprint dan Social Blueprint secara lebih efektif, berkesan, progresif dan dinamik. Terutamanya yang berkaitan dengan dasar berhubungkait dengan daya tarikan pelabur asing yang lebih strategik, memperkasakan ‘ease of doing business’ dan menjadikan persekitaran ekosistem bisnes yang lebih kondusif di negara ini. Ini termasuklah juga mensejajarkan dasar kerajaan yang sehaluan untuk dipraktikkan oleh agensi-agensi kerajaan.

Bahkan, pada masa yang sama, usaha mengukuhkan dan meyakinkan persekitaran perusahaan ‘industry-ready’, tegas Yang Berhormat, juga perlu disokong dan diselaraskan dengan memperluaskan penyediaan infrastruktur dan utiliti yang ‘reliable’ dan infrastruktur digital, ‘connectivity’ dan ‘accessibility’ yang lebih kondusif.

Menurut Yang Berhormat, apa yang mustahak, yang perlu juga diambil perhatian dari aspek memperluaskan dan memperkukuhkan lagi persediaan sumber tenaga manusia dalam pelbagai kemahiran profesional dan berteknologi tinggi diselaraskan dengan sistem pendidikan negara dengan berorientasikan TVET, mengikut piawaian antarabangsa dan memenuhi keperluan industri.

“InsyaaAllah, dengan mewujudkan dasar transformasi yang lebih berdaya tahan dan progresif sudah setentunya mampu menjana ‘spin-off effect’ dan ‘multiplier effect’ dan seterusnya impak signifikan kepada mengembangluaskan dan menggerak-rancakkan lagi kepelbagaian aktiviti perniagaan dan perindustrian termasuk industri hiliran di negara ini. Limpahan daripada rantaian pelbagai aktiviti perekonomian ini juga akan dinikmati dalam usaha menggerak aktifkan lagi pihak swasta, apatah lagi di kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana,” kata Yang Berhormat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI