BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman ketika membahaskan usul penangguhan antara lain menjelaskan dalam mesyuarat kedua tersebut telah banyak memfokus kepada isu-isu Wawasan Brunei 2035.
Menurut Yang Berhormat, majlis sebulat suara menyokong Usul Wawasan Negara 2035 kerana wawasan ini merupakan masa hadapan yang ingin dikecapi. Oleh itu, Ahli-ahli MMN mengambil berat akan perbahasan tentang Wawasan Brunei 2035 kerana semua mahu melihat ia dicapai menjelang tahun 2035.
Tambah Yang Berhormat, dengan adanya usaha dan iltizam senegara berpandukan kepada ‘blueprint-blueprint’ yang telah dihasilkan dengan penglibatan semua ‘stakeholders’ kita akan mencapai Wawasan Brunei 2035.
“Kaola amat menghargai usaha yang telah dibuat sejak bermulanya Wawasan Negara 2035 dilancar dan pelaksanaannya yang telah dibuat dan dicapai secara ‘incremental’ dan berperingkat. Tanpa usaha gigih, cekal, sabar, tabah dan dibuat secara berterusan mungkin kita tidak akan dapat menghasilkan ketiga ‘blueprints’ seperti yang diguna pakai pada masa ini,” jelas Yang Berhormat pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Menurut Yang Berhormat, sekarang adalah masanya untuk kita mengenal pasti di mana sudah pencapaian kita untuk menambah baik mana-mana yang kurang memberi nilai tambah apa yang sudah berjalan, memastikan tidak ada rintangan yang boleh melemahkan ataupun ‘undermine’ usaha menuju ke Wawasan Brunei 2035.
Yang Berhormat juga menghargai sumbangan Yang Berhormat Ahli-ahli yang dilantik dalam menambah nilai kepada pelaksanaan rancangan seperti dalam ‘blueprint’. Di samping perbahasan yang bernas dan menyambut baik respons positif daripada Yang Berhormat Ahli-ahli Rasmi Kerana Jawatan yang telah menerima pandangan dan cadangan Yang Berhormat Ahli-ahli yang dilantik secara terbuka dan rela hati. Tujuannya semata-mata untuk sama-sama meneliti apa jua perancangan yang sedang dan akan dilakukan agar pelaksanaannya mencapai matlamatnya.
Jelas Yang Berhormat lagi, selaku Ahli MMN yang dilantik adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk membawa keperhatian mana-mana pihak yang berkenaan dalam kerajaan, apa jua isu kemaslahatan dan kebimbangan rakyat dan golongan-golongan terkesan seperti pengusaha, peniaga, para profesional, pelabur, ibu bapa dan pelajar malah warga perkhidmatan awam sendiri agar perkara-perkara itu dapat diambil tindakan yang sewajarnya. Perkara tersebut selaras dengan pendekatan Whole of Nation di mana ‘inclusivity’ adalah kriteria utama.
Di samping itu, Yang Berhormat turut menjelaskan bahawa isu-isu yang ditimbulkan adalah hasil dari turun padang kepada kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkenaan.
Semoga mana-mana perkara yang diketengahkan dalam persidangan berkenaan dan sesi-sesi muzakarah akan dapat dipertimbangkan, tambah Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




