BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pagi tadi menyaksikan penyampaian ulasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, antara lain menyentuh isu ketidakpadanan pekerjaan atau ‘mismatch’ yang dibangkitkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof.
Dalam ulasan tersebut, Yang Berhormat mengongsikan bahawa bagi menangani isu ketidakpadanan antara kemahiran graduan dan keperluan industri, kerajaan melalui Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPTMP) di bawah JPM telah bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan dalam memastikan bidang-bidang kemahiran yang diperlukan serta relevan dengan ’emerging technologies’ seperti Kecerdasan Buatan (AI), Sains Data dan Teknologi Hijau dapat diterapkan ke dalam sistem pendidikan negara.
Sebagai contoh, ujar Yang Berhormat, pengemaskinian kurikulum melalui pengenalan modul Data Analytics dan Machine Learning telah pun dilaksanakan di institusi-institusi pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD), sebagai sebahagian daripada usaha kita dalam melahirkan anak-anak tempatan yang bersedia untuk mengisi peluang pekerjaan masa hadapan, sejajar dengan keperluan industri.
Bagi bidang pengajian yang belum ditawarkan di dalam negara tambah Yang Berhormat, kerajaan turut menyediakan kemudahan melalui Biasiswa Kerajaan Ke Luar Negeri serta Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan Kerajaan, sebagai platform untuk membekalkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang-bidang yang strategik.
Perancangan ini menurut Yang Berhormat lagi, adalah sejajar dengan usaha kerajaan dalam menyokong perkembangan sektor-sektor utama yang telah dikenal pasti di bawah Brunei Economic Blueprint, sekali gus memastikan wujudnya keseimbangan antara permintaan industri dan ketersediaan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing.
Dalam pada itu, Yang Berhormat turut menyentuh mengenai pelaksanaan Gaji Minima, satu lagi inisiatif Kerajaan yang memperlihatkan keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap kebajikan rakyat dan penduduk negara ini.
“Pelaksanaan Gaji Minima secara berperingkat telahpun dikuatkuasakan pada 12 Julai 2023 dan seterusnya pada 1 April 2025 bagi sektor-sektor tertentu, dan langkah ini telah memberikan kesan positif terhadap kualiti hidup rakyat, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah,” jelas Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, kerajaan akan terus komited dalam memantau serta memperkukuhkan lagi taraf kehidupan rakyat dan penduduk melalui pelbagai inisiatif berterusan seumpamanya demi merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




