BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Kunci kepada ke arah mencapai hasrat Wawasan Brunei 2035 ialah jangka masa tindakan dan tatacara pelaksanaannya yang memerlukan rangka strategi dan perubahan dasar yang memerlukan pendekatan Whole of Nation.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin berpendapat bahawa pelaksanaan strategi dan perubahan dasar perlu diungkayahkan dan disejajarkan bukan saja daripada pihak kerajaan sahaja tetapi juga mengambil kira suara-suara dan pandangan mengenai isu-isu dan keperluan dari akar umbi dan rakyat.
Tatacara memudah cara daripada pihak kerajaan melalui sesetengah kementerian dan jabatan yang berkaitan juga perlu diperbaiki untuk memastikan urusan-urusan sektor swasta akan berjalan dengan lancar dan cepat dalam sama-sama berusaha untuk pembangunan negara dan pertumbuhan ekonomi. Sektor swasta adalah merupakan sebahagian daripada enjin kepada pertumbuhan ekonomi di samping sektor awam. Jika elemen enjin swasta terjejas, akan terjejaslah jua keseluruhan enjin dan perjalanan mengorak langkah pun juga akan terjejas.
Yang Berhormat Pengiran Haji Isa menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan penangguhannya pada hari keempat Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa dalam ‘kitani’ melaksanakan semua perancangan-perancangan yang terkandung dalam ‘blueprint, kitani’ juga perlu sama-sama beringat untuk tidak terlepas pandang untuk mengambil tindakan kepada perkara-perkara kecil yang ‘kitani’ tidak nampak atau perkara-perkara yang ‘kitani’ pandang hanya masalah kecil sebagai cabaran masa ini yang kaola percaya adalah punca ia akan menjadi besar jika tidak diambil kira dalam tindakan-tindakan ‘kitani’.
“Kaola ambil contoh rumah-rumah di kawasan Perancangan Perumahan Negara yang dibuat oleh kontraktor yang tidak berlesen, ‘freelancers’ yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing. Aktiviti ini, kita memang nampak sebelum ini dan sehingga kini masih menjadi-jadi.
“Ini bukan sahaja memberi impak kepada tahap keselamatan pemilik-pemilik rumah berkenaan iaitu kalangan rakyat kita, malah ia menjejaskan pertumbuhan ekonomi dalam sektor pembangunan atau kemajuan, di mana kontraktor yang berdaftar dengan menggunakan khidmat pakar yang menjaga keselamatan dan kekukuhan bangunan kurang dipakai khidmat mereka.
“Kaola percaya dengan adanya kawalan rapi atau penghentian aktiviti ini dan dengan adanya peraturan dan penalti ketat bagi kontraktor tidak berdaftar ini akan mengurangkan aktiviti warga asing yang berleluasa dan memberi peluang terbuka kepada kontraktor berdaftar tempatan yang ada. Ini kaola ambil contoh sebagai contoh yang benar-benar berlaku dan kaola percaya lebih banyak lagi perkara yang ‘kitani’ tidak nampak pada masa ini yang muncul akan datang,” ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat turut memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 Kali Pertama bagi Tahun 2023, yang mana baginda antara lain bertitah bahawa Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan aspirasi baginda sendiri bagi melihat pembangunan negara berjalan lancar. Baginda juga memahami bahawa dalam keadaan dunia sangat sukar diramal, Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali daripada menghadapi kesan-kesan global seperti konflik geopolitik, penularan wabak Coronavirus dan situasi ekonomi tidak menentu.
Titah baginda ini, tambahnya, sudah setentunya memaksa kita untuk berfikir lebih fokus kepada pemeriksaan dasar dan kemampuan. Baginda menyeru pentingnya Wawasan Brunei 2035 diberikan perhatian sewajarnya dalam kita mengharungi cabaran-cabaran sukar yang dibawa oleh arus perubahan masa yang sangat pesat dengan lebih fokus kepada pencapaian matlamat-matlamat yang dirancang. Baginda menasihati bahawa kita tidak mahu Wawasan Brunei 2035 hanya tinggal retorik sahaja sebagai satu angan-angan kosong tetapi kita mahu ia mesti direalisasikan sepenuhnya sebagai agenda utama pembangunan negara. Harapan Baginda dengan adanya ketiga ‘blueprint’, negara akan dapat mentransformasikan tindakan termasuk penyejajaran dengan keperluan projek-projek Rancangan Kemajuan Negara. Wawasan Brunei 2035 adalah merupakan harapan tinggi rakyat dan penduduk negara ini untuk melihat tindakan-tindakan yang diambil akan lebih fokus kepada kepentingan rakyat, ‘people-centered’.
Terdahulu, Yang Berhormat menyentuh mengenai fokus pada kali ini iaitu pertama, strategi dan dasar ke arah penjimatan perbelanjaan kerajaan. Kedua, langkah-langkah dan inisiatif ke arah menaikkan lagi hasil pendapatan negara. Ketiga, menyampaikan kemaslahatan pengusaha-pengusaha termasuk golongan belia untuk memastikan urusan-urusan untuk mengusahakan ‘business’ adalah diterima dalam sama-sama mendukung usaha mempertingkatkan lagi ekonomi negara termasuk memacu perusahaan-perusahaan dan perniagaan, mempelbagaikan ekonomi negara supaya kita tidak bergantung kepada hasil minyak dan gas; dan terakhir, memperkenalkan isu-isu semasa yang melibatkan kepada perekonomian negara, golongan belia, pemacu kesinambungan agenda negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat juga berharap agar segala usaha kita ini akan menjadi sebahagian daripada sumbangan kecil tetapi bermakna ke arah kemajuan rakyat dan negara yang diberkati serta terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah majlis yang progresif, profesional dan berlandaskan amanah.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




