BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Agenda Pembangunan adalah sangat relevan dan penting kerana kerana ia bukan sahaja berkait langsung dengan aspirasi dan hala tuju negara malahan bertindak sebagai asas kestabilan politik, sosioekonomi, kemakmuran, kesejahteraan dan keselamatan negara dan rakyat serta penduduk di dalam.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim menekankan demikian pada ucapan penangguhan bagi Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
“Jika diamat-amati dari hasil perbincangan kita selama empat hari ini yang berkisar mengenai pelaksanaan wawasan ini jelas menunjukkan bahawa kita tidaklah ketandusan dalam menzahirkan cadangan-cadangan dan idea-idea baharu bernas dan membina, strategik lagi positif berasaskan situasi semasa negara dan perkembangan geopolitik dan sosioekonomi global.
“Kita juga secara spesifik dan terbuka cuba mengupas secara ‘detailed’ elemen-elemen penting yang terdapat dalam 3 ‘blueprints’ yang telah digubal termasuk dalam mengetengahkan maklum balas dari rakyat dan penduduk. Di samping itu, kita turut juga memberikan cadangan bagi ‘way forward’ pada membantu menangani isu-isu semasa yang ditimbulkan. Sebagai nilai tambah, kita juga telah mencadangkan beberapa langkah-langkah strategik ke arah meningkatkan ‘effectiveness’ sistem pelaksanaan, pemantauan dan penelitian semula beberapa aspek yang terdapat dalam wawasan ini agar ianya ‘result-oriented’,” ujar Yang Berhormat.
Oleh itu, Yang Berhormat menghargai bahawa banyak usaha inisiatif yang telah, sedang dan dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam mencapai wawasan ini setakat ini. Begitu juga kita mengakui akan pentingnya untuk mengukuhkan pensejajaran, koordinasi dan intergrasi agensi-agensi yang berkepentingan supaya pelaksanaannya dengan lebih cepat dan terarah bagi menghasilkan impak yang besar, luas dan menyeluruh.
Yang Berhormat berkata, ia juga bagi mengelakkan pertindihan bidang tugas dan pembaziran sumber. Kita juga menyedari bahawa salah satu perkara utama ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 ialah kesepaduan, kesepakatan dan komitmen tinggi kita semua selaku rakyat dan penduduk negara ini dalam menyokong dan menterjemahkan idea-idea ini untuk menjadi satu realiti yang akan dapat mencetuskan impak positif yang signifikan.
Menurut Yang Berhormat, apa yang penting ialah penglibatan rakyat di semua peringkat ke arah mencapai matlamat yang termaktub dalam wawasan ini menurut peranan dan kemampuan masing-masing.
Ke arah itu, Yang Berhormat seterusnya mencadangkan supaya isu-isu dan saranan-saranan yang membina dalam perbahasan kita ini akan diteliti secara mendalam kesesuaiannya. Mana-mana dasar, peraturan, program yang dapat membuahkan hasil yang segera, iaitu ‘low-hanging fruits’ akan dilaksanakan secepat mungkin agar faedahnya akan dapat dirasai oleh rakyat dan penduduk negara ini.
Manakala cadangan yang ‘viable’ dan memerlukan penelitian lanjut jelasnya akan dianalisa kebolehlaksanaannya dan dilibatkan agensi-agensi yang berkepentingan bagi menghasilkan program projek yang ‘integrated’, kukuh dan mantap. Ini bagi memastikan pelaksanaannya akan berjalan lancar dan menurut sasaran yang telah ditetapkan.
“Alhamdulillah dalam sesi permesyuaratan musim ke-21 ini secara keseluruhan, dewan ini juga menyaksikan beberapa pengemaskinian dan pelaksanaan dasar-dasar baru yang memberikan isyarat positif dan ‘impactful’ ke arah kemajuan negara.
“Ia bukan sahaja menyuntik semangat jitu kepada masyarakat peniaga, pengusaha tempatan dan rakyat dan penduduk malahan ia akan juga menunjukkan kesungguhan ataupun ‘seriousness’ dan komitmen negara dalam usaha menarik lagi pelabur-pelabur langsung asing untuk berganding bahu dengan pengusaha tempatan bagi sama-sama mengaktifkan dan merangsang aktiviti-aktiviti ekonomi negara setanding dengan negara-negara di rantau ini,” kata Yang Berhormat.
Dari itu, Yang Berhormat penuh percaya kesan positif dari hasil pengendalian dasar-dasar dan peraturan baru ini insyaaAllah akan memberikan kesan limpahan ataupun ‘spin-off’ berganda kepada negara secara holistik. Ia dijangka akan membuka lebih lagi banyak peluang-peluang perniagaan tempatan yang sekali gus akan membantu meluaskan lagi asas pendapatan negara yang sedikit sebanyak akan meningkatkan dan mengukuhkan fiskal negara insyaaAllah.
Bukan itu sahaja, Yang Berhormat berharap maklum balas yang disampaikan oleh Ahli-ahli yang dilantik ini akan diterima secara positif, membina dengan fikiran terbuka (open mind) supaya apa juga dasar yang bakal digubal nanti akan lebih mantap, kukuh dan mendapat sokongan ataupun ‘buy-in’ bagi semua peringkat rakyat dan penduduk negara ini sebagai pendekatan senegara.
“Yang pentingnya juga apa jua dasar dan peraturan baharu yang digubal dan dilaksanakan ini nanti akan di’follow through’ di setiap peringkat pelaksanaan secara jelas dan telus bagi mengelakkan intepretasi yang berbeza yang boleh saja melambatkan proses,” tambah Yang Berhormat.
Seterusnya, usaha mempercepatkan proses melalui ‘business-ready’ ini juga tambahnya diharap akan membantu memperbaiki ekosistem perniagaan negara supaya ianya akan lebih kondusif, proaktif dan mesra perniagaan. Ini juga diharap akan membuka lebih banyak peluang perniagaan, perusahaan memastikan dan sekali gus akan meluaskan lagi ‘economic pie’ negara untuk dinikmati oleh semua rakyat dan penduduk di negara ini secara menyeluruh.
“Akhir sekali, kaola berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan seluruh kerabat diraja akan sentiasa sihat walafiat, dikurniakan nikmat lanjut usia, taufik dan hidayah, keberkatan dan kebahagiaan, perlindungan dan pemeliharaan Allah Subhanahu Wata’ala, kekal qarar memerintah negara dengan petunjuk, inayah dan keredhaan Allah dan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini akan berterusan dikurniakan kesejahteraan, rahmat dan nikmat Allah Subhanahu Wata’ala mengecapi kehidupan dengan sentosa dan selesa,” ucap Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




