07.08.25 Beri sokongan padu kepada pengusaha tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 7 Ogos. – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperuntukkan Belanjawan Negara berjumlah BND6.53 billion pada Tahun Kewangan, bagi Tahun Kewangan 2025/2026 dengan tema ‘Bersatu Membina Masa Depan Yang Lebih Makmur’ untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat berterusan di bawah kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Sepanjang persidangan, banyak isu dan cabaran telah dikemukakan serta buah fikiran, pandangan dan cadangan dibentangkan merangkumi pelbagai aspek seperti ekonomi, sosial dan teknologi. Antaranya kepentingan untuk bekerjasama merentas kementerian, sektor dan masyarakat agar dasar dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Ini menyerlahkan keperluan mendesak untuk pelaksanaan reformasi Perkhidmatan Awam dengan memfokuskan kepada hasil dan produktiviti penyelarasan sistem dan penilaian impak secara telus.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam menggariskan demikian semasa menyampaikan ucapan penangguhan Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

Kata Yang Berhormat, dalam usaha menyokong Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), keutamaan sokongan padu dan memastikan tender-tender berkompleksiti rendah dan sederhana diberikan kepada pengusaha-pengusaha warganegara Brunei yang menjadi pemilik sah syarikat dan yang mengendalikannya sendiri sepenuhnya.

“Dalam kesempatan ini, kaola ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri serta warga kementerian atas kepimpinan dalam menjadikan produk tempatan daripada pengusaha PMKS sebagai cenderahati rasmi semasa Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-79 tahun baru-baru ini,” ucapnya.

Pendekatan ini jelas Yang Berhormat, bukan sahaja mencerminkan sokongan yang konsisten terhadap perusahaan tempatan malah menjadi contoh terbaik bagaimana acara kenegaraan dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh penjenamaan produk tempatan serta menyumbang secara langsung kepada peningkatan sosioekonomi pengusaha.

Kadar kebergantungan berterusan terhadap bantuan dalam kalangan individu berupaya bekerja dan peningkatan jenayah isu sosial menuntut tindakan bersepadu untuk menanganinya.

Dalam hal ini, pengukuhan dan penaiktarafan Sistem Kebajikan Negara katanya, bukan sekadar penyalur bantuan tetapi memperkasa penerima untuk berdikari dan pengukuhan Majlis Kebangsaan Isu Sosial sebagai penyelaras utama Dasar Sosial Negara adalah sangat penting.

“Alhamdulillah, tidak dinafikan banyak usaha telah digerakkan oleh pihak kerajaan dan kaola percaya rakyat menghargai kesungguhan ini dan dalam masa yang sama mengharapkan agar perubahan dapat dirasakan dalam kehidupan seharian dalam bentuk peluang dan kemudahan yang lebih banyak serta keterlibatan mereka dalam pembangunan negara.

“Dengan iltizam berterusan dan bersatu hati, cabaran-cabaran diberikan perhatian sewajarnya demi menjamin perlindungan, kesejahteraan dan keadilan kepada semua lapisan masyarakat. Dokumen-dokumen ‘blueprint’ yang sedia ada mencerminkan komitmen kerajaan. Kaola percaya Wawasan Brunei 2035 hanya dapat direalisasikan dengan semangat perpaduan budaya ‘delivery’, akauntabiliti dan integriti tinggi,” kata Yang Berhormat lagi.

Oleh yang demikian, pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation juga tambah Yang berhormat mesti diterapkan secara menyeluruh melalui koordinasi efektif, pelaksanaan cekap dan pengurangan birokrasi.

“Yang Berhormat Yang Dipertua. Kaola ingin mengulang kenyataan kaola semasa perbahasan wawasan tempoh hari bahawa bangsa Brunei cemerlang bukan sekadar cita-cita tetapi perlu dihidupkan sebagai agenda nasional. Kita adalah satu pasukan yang bersatu dengan integriti tinggi, mengamalkan budaya ‘delivery’ dan akauntabiliti demi membina masa depan yang cemerlang, adil dan mampan,” ujar Yang Berhormat.

Pada mengakhiri ucapan penangguhan itu, Yang Berhormat juga memohon doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar melanjutkan usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, melimpahkan rahmat-Nya dan mengurniakan kesihatan dan keafiatan kepada baginda serta seluruh kerabat diraja dan rakyat jelata.  Semoga Negara Brunei Darussalam terus kekal aman, makmur dan mendapat berkat di dunia dan di akhirat.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI