06.08.25 Bersatu mencapai Wawasan Brunei 2035

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Negara Brunei Darussalam bersyukur mempunyai anak-anak negerinya yang profesional dalam bidang-bidang yang diperlukan oleh negara.

Justeru pelaksanaan ke arah mencapai Wawasan 2035 memanglah dapat dipercayakan kepada mereka, selain ada input-input yang mungkin dapat didengar untuk bahan bagi penambahbaikan.

Perkara ini dikemukakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Apa pun tahap-tahap pencapaian ke arah Wawasan 2035 jelas Yang Berhormat Pehin, kita perlu bersatu dalam tiga perkara iaitu Kesetiaan kepada sultan dan negara; Keyakinan terhadap nilai-nilai Islam; dan Keharmonian sosial dan amalan tradisi berbaik-baik.

“Jadi maknanya, dalam kita mencapai wawasan, apa pun tetap yang kita capai ataupun cara yang berbagai-bagai menuju ke arah matlamat itu, kita mestilah menjaga tiga perkara ini yang inti patinya ialah untuk mengekalkan keamanan dan ketenteraman, kemantapan negara bagi kesejahteraan rakyat, kebahagiaan yang patut dan sentiasa akan disyukuri,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga turut menyentuh mengenai indeks kemiskinan yang belum ada di negara ini, selain turut mempersoalkan apakah kita pada 2035 dapat mengatasi isu-isu yang dinamakan kemiskinan ataupun isu-isu orang yang masih berharap kepada bantuan kebajikan dan juga agihan zakat.

Yang Berhormat kemudian merujuk kepada penyata angka asnaf-asnaf yang tercatat di Jabatan Urusan Zakat dan Wakaf, angka yang tercatat pada 2025 ada sebanyak 13,667 orang yang menerima agihan, yang terdiri daripada 4,975 kepala keluarga, dan pada tahun 2009 jumlahya ialah 17,025 orang dan ini bermakna sudah ada penurunan.

“Mudah-mudahan trend ini benar, dalam erti kata benarnya itu kerana diketahui ada lagi permohonan daripada tahun 2015 kepada tahun sekarang ini ada yang tertunggak,” kata Yang Berhormat.

“Jadi ‘kitani’ belum tahu lagi sejauh mana angka yang sebenar. Tapi yang penting di sini ialah memang diakui bahawa dalam mendukung matlamat untuk dalam bidang sosial, dalam bidang kebajikan dan sebagainya ini, maka sistem zakat dan wakaf perlu diperbaiki untuk digunakan sebaik-baiknya.

“Sistem tersebut bagi membantu orang-orang yang masih memerlukan bantuan atau memerlukan agihan pada masa ‘kitani’ mencapai 2035 itu, masih terdapat jurang di antara yang berada dengan yang tidak berada,” ujar Yang Berhormat.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI