06.08.25 Pembangunan infrastruktur negara mampan untuk kesejahteraan rakyat

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Kementerian Pembangunan berperanan menitikberatkan kesejahteraan rakyat melalui penyediaan pembangunan infrastruktur negara yang mampan, selamat, inklusif dan resilien.

Peranan Kementerian Pembangunan ini dizahirkan melalui penglibatan terhadap beberapa Petunjuk Prestasi Utama Negara di bawah Wawasan Brunei 2035. Antaranya ialah usaha berkenaan Kadar Pemilikan Rumah Rakyat di mana Kementerian Pembangunan berhasrat mencapai sasaran 85 peratus kadar pemilikan menjelang 2035.

Itulah yang dikemukakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis di sini.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan, kadar terkini pemilikan rumah sehingga kini, berada pada tahap 68 peratus. Bagi mencapai sasaran 85 peratus seperti yang digariskan di bawah Wawasan Brunei 2035, Kementerian Pembangunan terus mempergiat usaha dalam merancang dan melaksanakan projek-projek perumahan secara berfasa.

Antara inisiatif utama yang sedang dan telah dilaksanakan yang dikongsikan oleh Yang Berhormat adalah, pertama, penyiapan 1,000 unit rumah di Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lugu (Fasa 1); kedua, projek 950 unit rumah di RPN Tanah Jambu (Fasa 7) yang kini dalam tahap 74 peratus siap.

Yang Berhormat mengongsikan bahawa di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-12 beberapa projek perumahan baharu akan dilaksanakan yang dijangka dapat menyediakan sekurang-kurangnya 1600 unit rumah.

Projek-projek tersebut ialah seperti berikut; RPN Kampung Lugu Fasa 2B seluas 86 hektar yang akan dibina sebanyak 576 unit rumah; RPN Kampung Rimba Fasa 6 seluas 26 hektar yang akan dibina sebanyak 330 unit rumah; RPN Kampung Salambigar seluas 32 hektar yang akan dibina sebanyak 300 unit rumah; dan RPN Kampung Lumut Fasa 7 seluas 50 hektar yang akan dibina sebanyak 400 buah rumah.

Kemudian, Yang Berhormat menjelaskan bagi RPN dalam perancangan Jabatan Kemajuan Perumahan telah mengenal pasti 19 tapak tanah baharu di keempat-empat daerah bagi pembangunan perumahan pada masa hadapan dan terdapat sebanyak lima tapak baharu di Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait yang kini dalam peringkat kajian awal bagi menilai kesesuaiannya sebagai lokasi pembangunan perumahan.

Ini adalah bagi memastikan tapak-tapak pembangunan perumahan terancang, tersedia, serta menjamin kesinambungan pelaksanaan program perumahan negara secara mampan dan berfasa, jelas Yang Berhormat.

Antara inisiatif lain yang sedang diikhtiarkan oleh Kementerian Pembangunan bagi meningkatkan penyediaan rumah yang lebih ‘viable’ dalam skala yang lebih besar dan kos yang efektif adalah meneroka kaedah alternatif untuk menyediakan rumah-rumah melalui pembiayaan alternatif seperti Private Public Partnership, penggunaan teknologi pembinaan yang efisien dalam penyediaan rumah-rumah yang mampan dan terkawal, penggunaan bahan dan produk yang berkualiti dan lestari, reka bentuk unit perumahan yang lebih inklusif dan menepati keperluan rakyat di negara ini sesuai untuk seisi keluarga, warga emas dan individu yang berkeperluan khas, reka bentuk yang mengambil kira komponen kepentingan alam sekitar seperti penjimatan penggunaan air dan penjimatan tenaga dan mengoptimumkan penggunaan tanah, iaitu dengan memperkenalkan ‘vertical development’.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI