06.08.25 Komited meningkatkan kapasiti, keupayaan keselamatan siber

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Keselamatan siber adalah tanggungjawab bersama. Ia melibatkan pelbagai pihak termasuk pihak kerajaan, sektor swasta di semua peringkat dan masyarakat secara amnya.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebagai contoh rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya telah mengalami gelombang serangan siber yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ia menyasarkan sektor kritikal seperti telekomunikasi, penjagaan kesihatan kerajaan serta institusi kewangan yang mana telah mengakibatkan gangguan kepada perkhidmatan dan menggugat kestabilan infrastruktur digital.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan perkara tersebut semasa menjawap persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Md. Yusof mengenai langkah pencegahan pencerobohan sistem digital dan kesiapsiagaan kolektif negara untuk menangani ancaman siber yang semakin kompleks.

“Serangan perisian tebusan secara selaras atau Coordinated Ransomware Attacks juga telah pernah melumpuhkan pusat-pusat data kerajaan. Manakala skim pancingan iaitu ‘phishing schemes’ telah menyasarkan sistem perbankan. Ini antara lainnya adalah untuk mendedahkan kelemahan-kelemahan dengan tujuan untuk menjejaskan kepercayaan orang ramai. Ancaman siber terutamanya yang melibatkan serangan ke atas infrastruktur kritikal, pencerobohan data dan gangguan kepada perkhidmatan selalunya didalangi oleh kumpulan-kumpulan terancang atau ‘organised groups’, ‘advanced persistent threat actors’ dan juga mungkin ‘state-sponsored’.”

“Dalam hubungan ini, dalam era digital yang semakin pesat, keselamatan siber bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan kestabilan, keselamatan dan kedaulatan negara. Tidak dapat dinafikan tindak balas yang menyeluruh dan sistematik adalah diperlukan,” jelas Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang bersidang pada hari ketiga di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Negara Brunei Darussalam (NBD) tegas Yang Berhormat tidak terkecuali daripada risiko ini dan dalam hubungan ini, di antara langkah-langkah untuk mengukuhkan kesiapsiagaan negara dalam menangani ancaman siber adalah ‘multi-faceted’ seperti menerusi usaha-usaha Jawatankuasa Keselamatan Negara, Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Siber, agensi Cyber Security Brunei dan agensi-agensi bukan kerajaan, swasta dan juga Persatuan Keselamatan Siber Brunei.

Ujar Yang Berhormat, dalam usaha untuk melindungi infrastruktur maklumat kritikal atau ‘critical information infrastructure’ di dalam negeri, tumpuan adalah diberikan untuk memastikan rekaan dan binaan adalah ‘resilient’.

Pemantauan masa nyata telah diperkenalkan dan ditingkatkan melalui Cyberwatch Centre supaya sebarang ancaman dapat dikesan dan diambil tindakan sebelum ianya menyebabkan bahaya atau lebih bahaya. Untuk ini, Brunei Computer Emergency Response Team (BruCERT) juga ditubuhkan bagi menangani peristiwa-peristiwa keselamatan siber dan menjalankan ‘cyber drill excercises’, ini juga termasuk bekerjasama secara ‘bilateral regional’ dengan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa.

Dalam hubungan ini jelas Yang Berhormat, Agensi Keselamatan Siber Brunei memainkan peranan penting dalam menyatukan usaha kolektif kerajaan, industri dan komuniti untuk melaksanakan strategi perlindungan dengan berpandukan kepada amalan terbaik antarabangsa. Garis panduan pengauditan dan penilaian risiko juga telah diterbitkan untuk digunakan oleh mana-mana pemilik Infrastruktur Maklumat Kritikal (CII) bagi menilai tahap risiko dan keberkesanan kawalan risiko siber mereka. Sistem komputer yang digunakan untuk penyampaian perkhidmatan dan fungsi penting kerajaan adalah juga merupakan infrastruktur maklumat kritikal.

“Dalam hubungan ini, antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan melalui Pusat Kebangsaan e-Kerajaan adalah dengan mengenal pasti beberapa kelemahan keselamatan dan jurang operasi yang boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan. Di antara tindak balas kepada penemuan-penemuan tersebut adalah bagi melaksanakan projek-projek seperti pemasangan Next Gen Firewall, melaksanakan ‘active directory refresh’, memperkenalkan ‘central account password privileged management’, melaksanakan Multifactor Authentication dan pelaksanaan ‘enhance endpoint detection and response’.”

“Seterusnya selaras dengan usaha memperkukuhkan keselamatan infrastruktur digital kerajaan dan kesiapsiagaan secara kolektif, semua pemilik sistem yang ditempatkan di Pusat Data Agensi dikehendaki untuk memastikan sistem kementerian/jabatan masing-masing menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan. Ini adalah bagi menjaga digital ‘cyber hygiene’ di One Gorvernment Private Cloud dan memastikan penggunaan sistem operasi dan perisian yang terkini dan ‘supported’. Pemasangan perisian keselamatan melaksanakan penaiktarafan segera berasaskan laporan penilaian dan memastikan hanya sistem aktif ditempatkan di pusat data,” tegas Yang Berhormat.

Dalam menilai tahap kesiapsiagaan kolektif negara jelas Yang Berhormat, NBD juga turut menyertai penilaian Global Cyber Security Index (GCI) yang mengukur komitmen negara terhadap keselamatan siber yang meliputi 5 tonggak iaitu, undang-undang, teknikal, organisasi, pembangunan kapasiti dan kerjasama.

Hasil penilaian tersebut bertujuan untuk membantu negara mengenal pasti bidang penambahbaikan dan menggalakkan negara bertindak dalam membina kapasiti dan keupayaan di bawah setiap tonggak. Prestasi negara adalah diukur mengikut 5 peringkat dengan ‘tier’ 1 adalah yang tertinggi dan ‘tier’ 5 yang terendah. Bagi penilaian tahun 2024, NBD telah dinilai dan dikategorikan pada tier 3, iaitu di peringkat ‘establishing’ secara keseluruhannya, terang Yang Berhormat lagi.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI