06.08.25 Mempertingkatkan peluang pekerjaan diutamakan

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Menurut Kajian Tenaga Kerja tahun 2024, penyertaan tenaga kerja tempatan adalah pada kadar 71.3 peratus iaitu peningkatan sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Manakala, tenaga kerja asing merangkumi 28.7 peratus daripada keseluruhan pasaran buruh negara.

Dalam kategori jawatan Professional, Managerial, Executive and Technical (PMET), seramai 71,500 orang anak tempatan telah mengisi jawatan tersebut berbanding 15,900 pekerja asing, yang mencerminkan trend positif selari dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

Perkara itu digariskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman semasa membentangkan perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Terdahulu, Yang Berhormat berkata, untuk memperkukuhkan kesejahteraan pekerja tempatan dan memberikan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Buruh telah mempersyaratkan bagi setiap syarikat yang hendak mengambil pekerja asing untuk mendapatkan Surat Pengesahan iaitu (Clearance Letter) daripada Pusat Pekerjaan Brunei sebelum permohonan Lesen Pekerja Asing mereka dipertimbangkan.

“Dasar mempersyaratkan Surat Pengesahan atau Clearance Letter ini adalah untuk menggalakkan pengusaha-pengusaha dan syarikat-syarikat tempatan memberi keutamaan kepada anak-anak tempatan terlebih dahulu sebelum menggaji pekerja asing dan seterusnya membantu syarikat mencapai ‘localisation’ yang optima.

“Perkara ini sering dipersoalkan di dewan yang mulia ini, kenapa banyak warganegara asing yang mempelopori dalam bidang perniagaan seperti runcit dan sebagainya.

“Sukacita jua kaola kongsikan di dewan yang mulia ini, di mana menurut maklumat dari Banci Majikan dan Pekerja iaitu setakat 1 hari bulan April 2024, jumlah syarikat yang menjalankan kegiatan runcit di negara ini adalah sebanyak 1,444 dengan jumlah tenaga kerja seramai 14,351 orang.

“Daripada jumlah tersebut, 6,001 orang adalah terdiri daripada pekerja tempatan manakala 8,350 adalah pekerja warga asing,” kata Yang Berhormat.

Dari segi pemilikan pula, tambah Yang Berhormat, semua kedai runcit adalah dimiliki oleh warga tempatan, namun sebahagiannya iaitu 475 syarikat daripadanya mempunyai pemilikan bersama dengan warga asing.

“Istilah-istilah yang sering digunakan tidak sepatutnya ditimbulkan memandangkan proses-proses pengambilan dan pengeluaran visa dan Pas Kerja bagi pekerja asing telah diperkukuhkan dan telus dengan penglibatan agensi-agensi yang berkepentingan dalam kerajaan,” ujar Yang Berhormat.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI