BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Rangka Dasar Sosial Negara iaitu Social Blueprint diperkenalkan sebagai satu pelan dasar yang memberi tumpuan khusus kepada pembangunan sosial negara, selaras dengan Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035, iaitu Kualiti Kehidupan yang Tinggi.
Sebagai salah satu daripada tiga pelan induk utama negara – bersama Manpower Blueprint dan Economic Blueprint, Social Blueprint memainkan peranan yang saling melengkapi dalam membentuk asas pembangunan negara yang inklusif dan berdaya tahan, menjurus kepada enam Keutamaan Kebangsaan ataupun National Priorities di bawah rangka kerja wawasan iaitu: Kesihatan, Kesejahteraan Sosial, Pengangkutan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Urus Tadbir dan Kerjasama, dan Sains dan Teknologi.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad semasa mengongsikan pencerahan berhubung Pelaksanaan Social Blueprint sebagai sebahagian daripada usaha negara untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035, khususnya ke arah pencapaian Matlamat Kedua iaitu Kualiti Kehidupan yang Tinggi, pada Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Yang Berhormat berkata, dengan mengambil kira cabaran geopolitik dan ekonomi dunia yang semakin kompleks dan tidak menentu ini, Social Blueprint dibangunkan bagi memacu hala tuju pembangunan sosial negara secara lebih tersusun, menyeluruh dan mampan dengan berpaksikan kepada nilai-nilai kemanusiaan dan budaya, penyelarasan dasar antara agensi, serta pendekatan senegara atau Whole of Nation Approach yang mengiktiraf peranan semua pihak – kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan individu – dalam menjayakan aspirasi kemajuan sosial negara yang sama-sama kita inginkan.
Ke arah ini ujar Yang Berhormat, Social Blueprint mendefinisikan kemajuan sosial negara melalui tiga tunggak utama, iaitu:
Pertama, memastikan keperluan asas rakyat dan penduduk dapat dipenuhi secara mampan – termasuk akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, pendidikan yang berkualiti, peluang pekerjaan dan tempat tinggal yang selamat dan selesa. Dalam konteks ini, kemajuan sosial yang kita maksudkan bukan sekadar bergantung kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi kepada sejauh mana rakyat dapat menikmati hasil pembangunan dalam kehidupan seharian mereka.
Kedua, menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan penduduk negara ini dari sudut fizikal, mental, emosi dan sosial. Ini selaras dengan keperluan untuk membina persekitaran hidup yang kondusif, sihat dan lestari yang menyokong pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
Ketiga, membina masyarakat yang berdaya tahan, mampu menyesuaikan diri dan menangani cabaran masa kini serta masa hadapan. Apa yang diharapkan adalah masyarakat yang resilien, iaitu masyarakat yang bukan sahaja mampu pulih daripada cabaran dan krisis, tetapi juga mampu bangun semula dalam tempoh masa yang singkat dan sudah setentunya boleh menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran dan terus berkembang maju.
“Secara keseluruhannya, ketiga-tiga tunggak ini membentuk asas kepada pendekatan pembangunan sosial yang holistik dan berasaskan nilai kemanusiaan untuk mencipta masa depan yang lebih baik bersama-sama, sejajar dengan wawasan untuk membina Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang inklusif, stabil dan sejahtera menjelang 2035,” terang Yang Berhormat lagi.
Menurut Yang Berhormat, Social Blueprint ini merangka hala tuju yang menyeluruh ke arah membentuk masa depan sosial negara yang lebih kukuh, seimbang dan inklusif, berteraskan empat aspirasi utama, sepertimana yang telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, sebelum ini.
Pertama, dari aspek individu, melahirkan Rakyat Yang Mandiri, Berdaya Tahan dan Siap Siaga menghadapi Masa Depan; Kedua, dari aspek Keluarga, Memperkasa institusi Keluarga Yang Penyayang, Kukuh dan Berdaya Tahan; Ketiga, dari aspek Masyarakat, Membangun Masyarakat Yang Pemedulian, Inklusif dan Saksama; dan Keempat, secara menyeluruh iaitu Memperkasa Pembangunan Sosial Melalui Pendekatan Senegara (Whole of Nation).
Keempat-empat aspirasi ini jelas Yang Berhormat adalah sama-sama penting dan saling melengkapi antara satu sama lain. Secara keseluruhan, aspirasi-aspirasi ini disokong oleh 19 matlamat strategik dan 28 haluan dasar yang akan didukung dan dipantau melalui beberapa KPI Tindakan atau Action KPI.
“Maka, pelaksanaan Social Blueprint ini bukan hanya tentang visi masa depan, tetapi juga tentang bagaimana ‘kitani’ dapat mencapainya secara terancang, inklusif dan menyeluruh selaras dengan dasar nasional dan matlamat jangka panjang Wawasan Brunei 2035 demi kesejahteraan rakyat dan negara,” ujar Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




