06.08.25 Inisiatif Kementerian Pendidikan melalui 4 pelan strategic

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh menyatakan Kementerian Pendidikan melalui empat Pelan Strategik telah memberi keutamaan kepada beberapa inisiatif.

Ketika menyampaikan ucapan pada perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 pada hari ketiga Mesyuarat Kedua dari Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat menjelaskan Inisiatif Pertama iaitu Pengukuhan Pembelajaran dan Pengajaran (Teaching Strategies) melalui program seperti School-Based Assessment for Learning (SBAfL); Program Bimbingan Literasi dan Numerasi (Literacy Numeracy Coaching Programme – LNCP; Program Sokongan Pembelajaran (Learning Support Programme – LSP) dan Pengajaran Blended Learning.

“Inisiatif Kedua iaitu Penyediaan kurikulum dan penilaian yang relevan dan inklusif (termasuk pendidikan khas dan pendidikan awal kanak-kanak).

“Inisiatif Ketiga iaitu Program Perkembangan Profesional bagi Pemimpin Sekolah (SLP) dan Tenaga Pengajar Inisiatif ini telah menghasilkan peratus guru yang mencapai Gred 4 dan ke atas dari 20.99 peratus pada tahun 2020 kepada 44.4 peratus pada tahun 2024.

“Inisiatif Keempat iaitu Program Pengambilan Guru. Proses penilaian, pemilihan dan sokongan pengambilan tenaga pengajar telah dikemaskan melalui Program Immersi dan Program Perantis serta Initial Teacher Preparation yang juga ditawarkan oleh Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE) telah dinaik taraf ke peringkat Sarjana, iaitu Master of Teaching (MTeach) yang telah mula diperkenalkan pada tahun 2009,” jelas Yang Berhormat lagi.

Inisiatif Kelima ujar Yang Berhormat iaitu Skim Perkhidmatan Perguruan (SPG), dan Skim Perkhidmatan Institusi Pengajian Tinggi Awam (SPTA) Skim Perkhidmatan Perguruan (SPG) telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2008 dan Skim Perkhidmatan Tenaga Akademik (SPTA) pula diperkenalkan pada tahun 2014 yang memberikan pengiktirafan kepada tenaga pengajar untuk meningkatkan taraf profesionalisme.

Inisiatif Keenam pula menurut Yang Berhormat iaitu Memperkukuh Infrastruktur Pendidikan Ke Arah Persekitaran Pembelajaran Kondusif, Mampan dan Digital. Antara penambahbaikan yang dilakukan adalah Pengurusan Prasarana menggunakan Facility Management (FM); Pembinaan dan Penambahbaikan prasarana Pendidikan; Transformasi Digital; School Network Infrastructure Upgrade (SNIU); dan Projek Infrastruktur Hijau dan Pendidikan Lestari.

“Inisiatif Ketujuh iaitu Penyediaan Kerangka-kerangka Pendidikan bagi Pelbagai Pendekatan Pembelajaran seperti Kerangka Pendidikan Khas, Literasi Kewangan, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Sokongan Pembelajaran (Learning Support), Pembelajaran Teradun (Blended Learning), Kerangka Kelulusan Brunei Darussalam (BDQF) dan sebagainya.

“Inisiatif Kelapan iaitu Penyediaan Program-program yang Memenuhi Keperluan Industri seperti Penawaran program inkubasi dan sokongan ‘start-up’ keusahawanan; Program latihan praktikal (internship) dan bengkel kerjaya; Penerapan AI, AR/VR dan teknologi moden untuk pembelajaran secara individu dan praktikal; Penyelarasan program TVET dengan keperluan industri,” kata Yang Berhormat lagi.

Inisiatif seterusnya jelas Yang Berhormat ialah Internationalisation (Globalisation and Student Mobility) seperti Kerjasama Rentas Agensi dan Komuniti; Platform ASEAN bagi Mobiliti dan Penjajaran Dasar; dan Penglibatan Aktif dalam rangkaian dan pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti ASEM, ISESCO, SEAMEO, UNESCO dan STEPAN.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI