BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 6 Ogos. – Agensi-agensi berkepentingan dicadangkan agar mempertimbangkan keperluan untuk membangun satu penanda aras kemiskinan nasional yang bukan sahaja berasaskan pendapatan tetapi turut mengambil kira aspek kemampuan asas serta akses kepada perkhidmatan penting dan kualiti kehidupan secara menyeluruh.
Cadangan tersebut dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Daud bin Jihan, Ketua Kampong Belimbing pada sesi perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 semasa Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang bersidang pada hari ketiga di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat percaya bahawa perlaksanaan inisiatif ini akan lebih berkesan sekiranya dilaksanakan dengan melibatkan kerjasama pelbagai pihak Whole of Nation termasuk Ketua-ketua Kampung sebagai pemantau di peringkat akar umbi seperti yang telah dilaksanakan pada masa ini demi memastikan bantuan agihan dengan lebih adil, tulus dan berkesan dan juga sebagai menyokong matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk memperkasa kualiti hidup rakyat dan merealisasikan aspirasi sifar kemiskinan iaitu ‘zero poverty’.
Cadangan tersebut disuarakan oleh Yang Berhormat memandangkan sehingga kini negara masih belum mempunyai satu definisi rasmi dan ukuran kemiskinan yang dapat dijadikan ukuran nasional.
Ketiadaan garis pandu yang seragam ujar Yang Berhormat menyukarkan usaha untuk mengenal pasti secara objektif golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan pada masa yang sama menilai keberkesanan program kebajikan dan sokongan sosial yang telah dirangka dan dilaksanakan.
“Apa yang perlu diperhatikan ialah perkara ini telahpun dirancang secara dasar seawal tahun 2011, di mana terdapat cadangan untuk membangun garis kemiskinan berdasarkan dapatan tinjauan perbelanjaan isi rumah kebangsaan namun setelah lebih satu dekat berlalu, garis kemiskinan tersebut masih belum dimuktamadkan. Persoalannya, apakah cabaran utama yang menyebabkan perkara ini masih belum direalisasikan dan apakah langkah seterusnya yang sedang dirancang untuk menyempurnakan usaha penting ini?”, ujar Yang Berhormat.
Terdahulu, Yang Berhormat menyatakan banyak kemajuan yang ketara dapat dicapai melalui 3 Blueprint (Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint) yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Di antara kemajuan yang telah dicapai dari segi ekonomi ujar Yang Berhormat adalah usaha mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas melalui pembelbagaian seperti industri petrokimia contohnya Brunei Methanol Company dan pembangunan sektor pembuatan logistik dan perkhidmatan kewangan.
Dari segi pendidikan dan belia pula ujar Yang Berhormat adalah reformasi kokurikulum SPN21, peningkatan score PISA dan acara libat urus belia seperti ‘coffee talk’ manakala, dari segi penjagaan kesihatan dan kualiti hidup pula melalui pembedahan pemindahan hati pertama yang telah berjaya dilaksanakan pada 1 Februari 2025.
Kejayaan-kejayaan ini tercapai menurut Yang Berhormat adalah atas komitmen sepadu daripada berbagai agensi berkepentingan dan ianya menyumbang kepada sebahagian daripada pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035.
Namun Yang Berhormat seterusnya berkata ada juga cabaran-cabaran yang dihadapi, salah satunya ialah majoriti rakyat masih kurang faham atau tidak terlibat secara langsung dengan visi dan satu tinjauan menyatakan, 95 peratus warga Brunei tidak faham tentang Wawasan Brunei 2035. Mereka tahu menyebutnya tetapi tidak tahu maksudnya.
Menyentuh mengenai dokumen Social Blueprint, Yang Berhormat menjelaskan prinsip yang memandu Social Blueprint adalah dilihat dari ekosistem yang lengkap meliputi Wawasan Brunei 2035, Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) dan komitmen-komitmen antarabangsa yang selaras dengan prinsip-prinsip utama Maqasid Syariah.
Social Blueprint ini jelas Yang Berhormat lagi mendukung aspirasi Wawasan Brunei 2035 dengan matlamat-matlamat stategik yang sejajar dengan pencapaian kebangsaan yang telah dikenal pasti di bawah matlamat kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu kualiti kehidupan rakyat yang tinggi.
“MKIS berperanan penting dalam mengenal pasti dan menangani isu-isu sosial di negara ini. MKIS telah mengenal pasti 12 isu utama yang dilihat secara senegara iaitu kemiskinan, rumah daif, pengangguran, ‘security’ sosial, mentaliti masyarakat, kegiatan tidak bermoral, pencegahan jenayah, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), institusi keluarga, wanita dan kanak-kanak,” ujar Yang Berhormat.
Pelan-pelan tindakan di bawah jawatankuasa-jawatankuasa MPS bagi menangani isu-isu sosial tersebut juga selaras, diselaraskan dengan aspirasi Social Blueprint termasuk dalam penyediaan dasar, akta ataupun program melibatkan pelbagai agensi peneraju dan keahlian daripada agensi-agensi masing masing.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




