BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) pada masa ini adalah dalam kalangan lapangan terbang yang belum menyertai Hidden Disabilities Sunflower Lanyard Programme yang merupakan skim terdaftar dan dikendalikan oleh Hidden Disabilities Sunflower Scheme Limited iaitu sebuah NGO swasta berdaftar dan berpangkalan di United Kingdom (UK) yang mempunyai rangkaian antarabangsa melalui penyertaan sebagai ahli.
“Dalam hubungan ini, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi melalui Jabatan Penerbangan Awam bersetuju dengan skim tersebut, akan tetapi perlu menduduki terlebih dahulu tentang keperluan-keperluan untuk menyertai skim tersebut secara rasmi.
“Contohnya, untuk melaksanakan inisiatif sedemikian secara efektif di lapangan terbang, antara perkara penting yang perlu diambil kira adalah berkaitan dengan kesedaran dan kompetensi kakitangan,” terang Yang Berhormat semasa menjawab persoalan mengenai pelaksanaan Hidden Disabilities Sunflower Lanyard Programme di LTAB dengan kerjasama Royal Brunei Airlines dan NGO tempatan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, pagi tadi.
Ini kongsi Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, perlu menyediakan latihan khusus kepada kakitangan lapangan terbang termasuk pegawai keselamatan, imigresen dan khidmat pelanggan serta kesedaran mengenai ketidakupayaan tersembunyi, komunikasi, empati dan kendalian situasi sensitif.
Dalam hubungan ini, tambah Yang Berhormat lagi, Jabatan Penerbangan Awam tiada ada halangan untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak swasta dan NGO yang ingin turut menerajuinya.
“Ini juga tidak semestinya untuk menjadi ahli rasmi kepada Hidden Disabilities Sunflower Lanyard Programme tersebut tetapi kepada mana-mana usaha untuk membantu Orang Kelainan Upaya tersembunyi dapat diberi bantuan tambahan di khalayak orang ramai,” terang Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan antara usaha bagi meningkatkan ‘accessibility’ dan menjadikan LTAB lebih mesra, ‘inclusive’, penumpang-penumpang yang mempunyai keperluan khusus seperti kelainan upaya boleh memohon bantuan melalui langkah-langkah berikut.
Ujar Yang Berhormat, memaklumkan kepada syarikat-syarikat penerbangan atau ejen pelancongan semasa membuat tempahan tiket mengenai keperluan khas yang diperlukan untuk dapat menghubungi khidmat pelanggan syarikat penerbangan sebelum tarikh perjalanan untuk mendapatkan panduan lanjut.
Atau tambah Yang Berhormat, membuat peraturan awal dan juga memaklumkan secara langsung kepada kakitangan lapangan terbang semasa proses daftar masuk atau ‘check-in’ untuk memohon permintaan seperti masa tambahan untuk urusan perjalanan, bantuan komunikasi yang lebih jelas, perlahan dan mudah difahami dan jika perlu, penggunaan ruang menunggu yang lebih tenang seperti ruang yang lebih senyap yang sudah tersedia.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




