BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Ogos. – Walaupun ekonomi Negara Brunei Darussalam (NBD) menunjukkan pertumbuhan yang positif, perkembangan ekonomi dalam negara kini didominasi dengan 75 ribu pekerja asing dalam pasaran buruh yang menyukarkan mobiliti kerjaya rakyat tempatan.
Terdapat 14 ribu anak tempatan menganggur, manakala 32,600 rakyat dalam kategori ‘under-utilised’, termasuk lebih 3,000 graduan yang masih belum menembusi pasaran kerja yang bersesuaian.
Begitu juga dengan pertumbuhan ekonomi, kita mengalu-alukan kestabilan mikroekonomi tetapi limpahan kekayaan benar-benar belum sampai kepada rakyat.
Ramai pengusaha tempatan masih menghadapi cabaran dari segi aliran tunai (cashflow) sebab bayaran tertunggak dan akses pasaran serta pinjaman dana tersekat.
Sementara manfaat pelaburan cenderung berpusat kepada segelintir pihak sahaja.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin pada hari pertama Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Yang Berhormat juga membangkitkan fenomena Ali Chandran, di mana warga asing semakin menguasai sektor runcit, pembinaan dan pertanian, mengancam peluang ekonomi anak tempatan.
“Ini menimbulkan kebimbangan rakyat jika fenomena ini tidak dipantau oleh agensi yang tertentu, sektor ini akan terus didominasi oleh orang asing dan rakyat tidak akan dapat tempat dalam rantaian ekonomi dalam negeri sendiri.
“Kaola percaya kita boleh mengubah trajektori ini. Dengan dasar yang lebih strategik berfokuskan kepada rakyat dan mengambil maklum balas dari rakyat,” ujar Yang Berhormat lagi.
Sumber Berita dan Gambar: Pelita Brunei




