27.02.25 Usaha Bersepadu Untuk Kelangsungan Pertumbuhan Ekonomi Negara, Rakyat

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Perubahan kekerapan Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang akan diadakan sebanyak dua kali setahun bermula tahun ini antara yang menarik perhatian Ahli MMN, Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang diadakan petang tadi di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Yang Berhormat menjelaskan perubahan itu melambangkan betapa baginda mengambil berat terhadap perlaksanaan tindakan-tindakan yang berterusan oleh semua pihak demi antara lain, untuk mempercepatkan lagi pertumbuhan ekonomi dan usaha mempelbagaikan ekonomi negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.

Terdahulu, Yang Berhormat dalam mukadimahnya merafakkan syukur dan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan dan seterusnya mengurniakan titah sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN tahun ini.

Yang Berhormat Pengiran Haji Isa juga menyatakan sokongan penuhnya terhadap usul yang dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Menyentuh mengenai penggubalan Kod Etika Ahli-ahli Majlis nanti, beliau menjelaskan ia akan menambah nilai MMN itu dan setentunya ke arah keselarasan dan standard AIPA (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly) mahupun CPA (Commonwealth Parliamentary Association) dengan bercirikan calak kita orang Brunei.

Tambahnya, harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi persidangan ini akan terus berunding dengan jujur, berfikiran kreatif dan bertindak strategik ke arah meraih masa depan gemilang dengan menitikberatkan garis pandu dalam mengajukan dan meneliti perkara-perkara serta isu-isu strategik dan dasar yang akan dibangkitkan yang setentunya menjurus kepada penghasilan impak yang positif terhadap kesejahteraan rakyat.

Menurut Yang Berhormat, penekanan baginda mengenai keperluan untuk terus melakukan transformasi dalam meningkatkan produktiviti dan hasil negara merentasi sektor-sektor lain selain daripada sektor hiliran minyak dan gas juga adalah satu gagasan yang perlu diambil perhatian dan tindakan yang serius dan cepat.

“Perlunya semua pihak terutama agensi-agensi kerajaan yang ada untuk terus meneliti ruang-ruang untuk memudah cara lagi urusan peniaga-peniaga tempatan dalam sektor-sektor lain ini untuk terus maju dan cepat dalam sama-sama memacu pergerakan dan usaha mempelbagaikan ekonomi negara,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga akan sentiasa memfokuskan kepada membangkitkan strategik dan hala tuju kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan dalam usaha bersepadu, cepat dan mantap demi untuk kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara dan kelangsungan kehidupan rakyat.

Di samping itu, beliau turut menyahut titah saranan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi cadangan dan idea yang akan dikemukakan nanti akan mengambil kira ’emerging issues’ di peringkat global dengan turut menyentuh mengenai revolusi teknologi Artificial Intelligence (AI) yang sudah ketara keperluannya.

Dalam pada itu, Yang Berhormat juga berharap dan melahirkan harapan melalui persidangan ini nanti akan dapat membuahkan hasil yang diharapkan dengan tindakan-tindakan yang akan dibuat dengan cepat, jitu dan proaktif dengan dasar yang bersesuaian agar kita akan terus maju memacu Wawasan Brunei 2035.​

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI