27.02.25 Isu MMN dihasrat dapat diselesaikan, diambil tindakan

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 27 Februari. – Dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi petang tadi, Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, Penghulu Mukim Lumapas menyokong usul yang dicadangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bagi menyembahkan ucapan menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat juga turut menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446H / 2025M, yang penuh bermakna bagi kita semua dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

“Kaola menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas limpah perkenan supaya Mesyuarat Negara diadakan dua kali setahun,” ujar Yang Berhormat pada mesyuarat yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.

Dengan adanya mesyuarat dua kali setahun ini, jelas Yang Berhormat, perbahasan akan lebih teratur serta memberikan lebih banyak ruang untuk membahas dasar-dasar negara yang berbangkit dalam kalangan masyarakat.

Yang Berhormat seterusnya menjunjung kasih atas kemurahan hati baginda yang memperkenankan supaya penduduk-penduduk tetap yang tidak mempunyai kewarganegaraan (stateless) diberikan kemudahan perkhidmatan kesihatan sebagaimana yang diberikan kepada warga Negara Brunei Darussalam kerana penduduk tetap (stateless) ini orang yang dagang tidak ada tempat untuk mengadu apalagi mendapatkan bantuan berbeza halnya dengan penduduk tetap yang mempunyai kewarganegaraan.

Jelas Yang Berhormat, mudah-mudahan dengan kemurahan hati baginda itu akan menambah keberkatan bagi Negara Brunei Darussalam. Yang Berhormat juga mengharapkan segala isu-isu yang dibahaskan di dalam dewan itu akan dapat diselesaikan dan diambil tindakan segera demi menjaga kesejahteraan masyarakat di negara ini.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI