BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Seiring dengan pertumbuhan pelaburan asing, projek-projek utama dalam sektor hiliran minyak dan gas terus berkembang, termasuk pelaburan berimpak tinggi seperti yang dilaksanakan oleh beberapa buah syarikat.
Ini termasuklah Syarikat Hengyi Sdn. Bhd. yang telah menilai semula Kajian Kebolehlaksanaan (Feasibility Study) Fasa 2 bagi mengoptimumkan skop projek, meningkatkan prestasi kewangan, dan memenuhi permintaan pasaran.
Berdasarkan penelitian ini, fasa kedua ini meliputi perancangan untuk meningkatkan lagi kapasiti pemprosesan loji dari 8 juta metrik tan kepada 12 juta metrik tan setahun.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada membentangkan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025 / 2026 pada hari ketiga Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis berkata, perjanjian usaha sama di antara pihak kerajaan melalui Strategic Development Capital Fund atau SDC bersama pelabur asing, Liva Chemie Pte. Ltd. telah ditandatangani pada penghujung bulan Julai 2024 bagi penubuhan sebuah syarikat yang baharu, iaitu Polygel Intermediates Sdn. Bhd.
Syarikat ini ujar Yang Berhormat akan mengendalikan projek Asid Asetik dan Anilin di tapak perindustrian Sungai Liang (SPARK), dan akan menambah nilai terhadap bahan-bahan mentah tempatan yang sedia ada daripada syarikat Brunei Fertilizer Industries (BFI), Brunei Methanol Company dan juga Syarikat Hengyi.
“Kilang ini dijangka akan mula beroperasi pada tahun 2027 dan ianya akan memperluaskan lagi peluang untuk pengeluaran produk-produk tambahan yang lain di negara ini,” ujar Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat seterusnya berkata, BFI telah mula mengeluarkan produk baja ‘urea’ pada awal tahun 2022. Setakat 31 Disember 2024, jumlah eksport baja ‘urea’ telah pun melebihi 2.4 juta metrik tan dengan nilai anggaran lebih daripada USD1 bilion dan dijual ke pasaran negara-negara di rantau Asia Tenggara, Asia Timur, Australia, Afrika Timur dan Amerika Selatan.
“Perluasan Sungai Liang Industrial Park (SPARK) bagi memperkasa kecekapan logistik dan operasi untuk penyewa yang sedia ada dan baharu, dengan meningkatkan daya tarikan SPARK sebagai pelaburan langsung asing (FDI) yang bernilai tinggi.
“Selain itu, perbincangan terus diadakan bersama syarikat-syarikat dari beberapa rantau bagi menarik lebih banyak pelaburan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi yang bernilai tinggi, seperti aktiviti-aktiviti Petroleum Intermediate Derivatives,” ujar Yang Berhormat lagi.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




