BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 1 Mac. – Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi di Dewan Persidangan, Bangunan Dewan Majlis bagi hari ketiga diteruskan dengan Pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang (2025) Perbekalan 2025/2026 oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Dalam pembentangan Kertas Cadangan Rang Undang-undang tersebut, Yang Berhormat menjelaskan bahawa keutamaan akan terus diberikan untuk mengukuhkan lagi sistem kesihatan negara bagi meningkatkan lagi keupayaannya untuk bertindak balas secara berkesan dan lebih responsif terhadap apa jua keperluan kesihatan dan sebarang perubahan atau cabaran-cabaran paradigma kesihatan pada masa ini dan masa hadapan.
Usaha ini jelas Yang Berhormat termasuk memastikan semua peralatan perubatan yang diperlukan, peralatan diagnostik, stok ubat-ubatan dan sumber tenaga manusia adalah pada tahap yang memuaskan dan mencukupi.
Yang Berhormat juga menyatakan bahawa pelbagai faktor termasuk kenaikan harga rawatan perubatan dan ubat-ubatan, inovasi teknologi perubatan serta cabaran-cabaran seperti pandemik wabak penyakit akan terus menguji kedayatahanan sistem kesihatan negara, termasuklah ‘ageing population’ yang memerlukan penjagaan kesihatan yang semakin kompleks.
Dalam hal ini ujar Yang Berhormat lagi, kerajaan sentiasa menekankan kepentingan penjagaan dan pencegahan awal serta mengutamakan gaya hidup sehat yang dapat membantu mengurangkan penyakit-penyakit kronik dan seterusnya mengurangkan tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan kita.
Sementara itu sebagai langkah untuk memperkukuh daya tahan dan keberkesanan sistem kesihatan, Yang Berhormat menjelaskan kerajaan terus memanfaatkan teknologi digital bagi memperluaskan akses kepada perkhidmatan dan meningkatkan pengalaman pengguna.
“Sebagai salah satu inisiatif ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan, kerajaan telah memperkenalkan BruHealth 5.0. Aplikasi ini dilengkapi dengan ciri-ciri baharu seperti penambahan saringan kesihatan di bawah Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan bagi pencegahan dan pengesanan penyakit secara awal; indeks kesihatan bagi setiap individu; dan pemantauan kesihatan melalui rutin harian,” jelas Yang Berhormat.
Pada masa yang sama ujar Yang Berhormat lagi, langkah-langkah strategik turut dilaksanakan untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan penjagaan kesihatan. Salah satunya adalah melalui integrasi strategik antara Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) pada 1 Januari 2025.
Untuk memenuhi keperluan jururawat negara pula, Yang Berhormat menjelaskan bahawa JPMC College of Health Sciences atau JCHS, telah ditubuhkan dengan kerjasama Far Eastern University dari Republik Filipina yang setakat ini mempunyai tiga pengambilan dalam program Foundation in Science dengan jumlah pelajar seramai 301 orang dan dua pengambilan dalam program Bachelor of Science in Nursing dengan jumlah pelajar seramai 207 orang di samping ia juga disasarkan untuk menjadi sebuah pusat bagi pelajar-pelajar kejururawatan tempatan dan juga antarabangsa.
Yang Berhormat berkata kerajaan terus meningkatkan komitmen dalam memperkukuhkan sistem penjagaan kesihatan negara dengan menyediakan peruntukan di bawah Perbelanjaan Berulang-ulang sebanyak BND425.2 juta bagi Tahun Kewangan 2025/2026 kepada sektor Kesihatan.
Peruntukan tersebut tambah Yang Berhormat, antaranya termasuk bagi pemeliharaan sistem BruHealth dan BruHIMS untuk memastikan sistem digital ini terus beroperasi dengan baik bagi menyokong pengurusan kesihatan negara dan pengambilan tenaga kerja profesional seperti jururawat secara kontrak, teknisyen makmal, dan pembantu penjaga pesakit (patient-care assistants), serta penyediaan bekalan makanan dan minuman di hospital-hospital seluruh negara, untuk memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan berkualiti; termasuk perkhidmatan sokongan klinikal.
Yang Berhormat menjelaskan peruntukkan juga adalah untuk pembelian ubat-ubatan, peralatan perubatan guna habis, dan keperluan ujian makmal; perkhidmatan rawatan pesakit kritikal, termasuk rawatan sakit jantung di Gleneagles JPMC, rawatan kanser di Pusat Kanser Brunei, serta rawatan rehabilitasi strok dan neurologi di Brunei Neuroscience, Stroke & Rehabilitation Centre.
Seterusnya Yang Berhormat menjelaskan peruntukan adalah bagi menangani isu kesihatan masyarakat yang kritikal, termasuk pengurusan wabak penyakit berjangkit, program pencegahan, dan penyelidikan untuk meningkatkan kesiapsiagaan negara terhadap ancaman kesihatan masa hadapan.
“Walaupun kerajaan terus berusaha meningkatkan akses dan kualiti perkhidmatan kesihatan yang hampir percuma, tanggungjawab untuk menjaga kesihatan tidak hanya terletak pada sistem perubatan, tetapi juga pada setiap rakyat dan penduduk di negara ini.
“Oleh itu, setiap individu adalah digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala, serta mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko penyakit.
“Sebagai sebuah negara yang memiliki sistem perlindungan kesihatan sejagat atau ‘universal health coverage’ yang menawarkan sistem penjagaan kesihatan yang bertaraf tinggi, rakyat juga perlu memainkan peranan dengan memanfaatkan kemudahan yang disediakan secara bertanggungjawab, mengelakkan pembaziran sumber perubatan, dan menghargai pengorbanan barisan hadapan kesihatan.
“Dengan komitmen bersama ini, InsyaaAllah, Negara Brunei Darussalam akan terus berkembang menjadi sebuah negara yang mempunyai rakyat yang sihat, produktif dan sejahtera,” ujar Yang Berhormat.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




