BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Mac. – Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai menyatakan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana berpeluang untuk Usul Menjunjung Kasih bagi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN bagi Tahun 2025, kelmarin.
Yang Berhormat turut menyokong penuh usul Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman bagi menyembahkan menjunjung kasih setinggi-tingginya Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang telah berkenan bercemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21, MMN, baru-baru ini.
Berucap semasa menyertai perbahasan Usul Menjunjung Kasih semasa Persidangan MMN Ke-21 yang bersidang bagi hari ketiga, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat seterusnya berkata, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sememangnya banyak makna dan penuh pengertian yang mendalam sekali apatah lagi baginda tidak ketinggalan menyentuh berkenaan dengan komitmen Ahli-ahli Yang Berhormat dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saranan baginda merupakan membakar semangat kepada Ahli-ahli Yang Berhormat untuk sentiasa meningkatkan positif diri di dalam mengemukakan idea-idea yang bernas serta mampu mengembang kepada kemajuan negara. Selain daripada itu, kaola sangat-sangat menyambut baik sebarang perubahan bagi memantapkan MMN ini termasuklah penggubalan Kod Etika Kerja Ahli-ahli Yang Berhormat MMN.
“Perubahan ini mencerminkan wawasan baginda dalam meningkatkan kualiti dan integriti MMN agar sentiasa relevan dan dihormati atas dasar itu kita selaku rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) sewajarnya bagi satu mekanisme yang positif ke arah sentiasa bergiat aktif untuk bersama-sama menanai hasrat baginda,” ujar Yang Berhormat.
Menyentuh mengenai soalan transformasi produktiviti negara terang Yang Berhormat, baginda juga mengharapkan usaha dalam mempelbagaikan ekonomi negara dalam semua sektor agar tidak perlu kebergantungan ke atas produk minyak dan gas dapat diimbangi dengan sebaik-baiknya. Ini termasuklah dalam memperluaskan aktiviti sosial ekonomi dan perniagaan yang sewajarnya hendaklah dipelopori oleh anak-anak tempatan.
Yang Berhormat seterusnya menambah, seperti yang kita sedia maklum masih banyak peniaga kecil-kecilan yang terajui oleh bukan bumiputera seperti kedai gunting rambut lelaki, perkhidmatan pemotong rumput, kedai jahit dan sebagainya.
Yang Berhormat dalam pada itu, turut mengambil maklum bahawa pihak kerajaan ada menawarkan kursus-kursus kemahiran kepada belia-belia untuk membantu mereka memulakan peniagaan kecil-kecilan, sehubungan dengan ini kaola mencadangkan agar kursus-kursus kemahiran yang sedia ada dapat diperluaskan kepada golongan dewasa, persaraan kerajaan dan swasta dengan ini hanya dapat dimanfaatkan oleh semua lapisan umur terutama sekali kepada mereka yang berkeinginan untuk memulakan perniagaan.
Manakala menyentuh mengenai titah baginda tentang penggunaan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent – AI) dalam hal ini Yang Berhormat berpendapat telah tiba masanya AI ini dapat dikembangmajukan penggunaannya di NBD yang mana ini termasuklah di dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kerja orang ramai seperti Perkhidmatan Pelanggan, Smart Car Parking dan sebagainya.
Walau bagaimanapun, tegas Yang Berhormat, penggunaan AI hendaklah juga dipantau dan diseimbangkan agar ia dianggap mesra pengguna serta dinikmati oleh orang ramai dengan sebaik-baiknya.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




