BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 2 Mac. – Sikap keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di dalam memeduli hal ehwal kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah sangat-sangat dijunjung tinggi apabila baginda bertitah memperkenankan agar caj perkhidmatan yang sedia ada bagi penduduk yang tidak mempunyai taraf penduduk (stateless) untuk kesihatan sepertimana yang diberikan kepada warganegara NBD, perlu kita syukuri selaku rakyat di bawah kepimpinan seorang raja yang berjiwa rakyat, berwawasan dan bijaksana.
Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau berucap demikian pada perbahasan Usul Menjunjung Kasih pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Selain itu, jelas Yang Berhormat, baginda juga menyentuh daripada usaha kerajaan untuk menggerakkan lebih banyak lagi aktiviti perniagaan dan pelancongan ke NBD yang memberi kesan secara langsung kepada ‘spinning-off’ kepada peniagaan tempatan. Yang Berhormat berharap agar impak positif ini juga turut diraih oleh Daerah Temburong dengan slogan ‘Permata Hijau’.
Sektor pelancongan pula ujar Yang Berhormat, hendaklah dipacu melalui program-program khusus aktiviti pelancongan yang lebih menarik dan baharu. Ini termasuklah menaik taraf tempat-tempat lawatan dari segi nilai komersial pelancongan yang berdaya maju dan ‘sustainable’.
Selain daripada itu juga, usaha ke arah meramaikan Daerah Temburong daripada penganjuran aktiviti-aktiviti sosial, sukan dan perniagaan sama ada di peringkat nasional atau serantau adalah dilihat penting bagi mengerakkan kemajuan dan pembangunan di Daerah Temburong.
“Baginda turut bertitah berkenaan dengan kerjasama inovasi dan semangat juang semua pihak perlu mencapai Wawasan Brunei 2035. Sehubungan dengan ini, kaola berharap sebarang cadangan dan idea yang disuarakan di dewan yang mulia ini oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dapat diteliti dan diambil perhatian dengan sewajarnya. Kaola dan Ahli-ahli Yang Berhormat lain sentiasa bersedia untuk duduk semeja dan berunding demi mendapatkan hasil yang baik ke arah ke maju negara dan kesejahteraan rakyat.
“Kaola menyambut baik dan menjunjung kasih di atas perkenan baginda bagi perubahan terhadap kekerapan Persidangan MMN kepada dua kali setahun termasuklah pengemaskinian ke atas prosedur dan proses kerja menurut Majlis Mesyuarat (Standing Orders) agar dipraktikkan sepenuhnya. Ini memberikan lagi ruang perbahasan sebagai ‘check and balance’ kepada sebarang kemajuan yang dilaksanakan,” tambah Yang Berhormat lagi.
Yang Berhormat juga turut menyembahkan sepenuh-penuhnya menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keberangkatan baginda dan seterusnya mengurniakan titah bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN, baru-baru ini.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




