10.03.25 Pelbagai inisiatif pastikan pemuliharaan, pemeliharaan warisan bersejarah

​BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 10 Mac. – Bagi mengulas pertanyaan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai atas pertanyaan PL74 mengenai perancangan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) bagi memulihara dan memelihara bangunan-bangunan bersejarah yang dilindungi di bawah Akta Perintah Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad menjelaskan, Jabatan Muzium-Muzium melalui akta ini telah mewartakan 27 tapak bersejarah.

Menurut Yang Berhormat, ini merangkumi 15 monumen dan 12 makam diraja, yang diiktiraf berdasarkan nilai sejarah, seni bina, budaya dan ekonomi. Namun tidak semua bangunan ini berada di bawah pentadbiran dan kawalan Jabatan Muzium-Muzium tetapi ia tetap tertakluk kepada akta yang ditetapkan.

“Sejak tahun 2015, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan warisan bersejarah negara. Antaranya termasuklah pemulihan Taman Arkeologi Kota Batu pada tahun 2015, Muzium Daerah Belait pada tahun 2016, pemuliharaan Makam Sultan Bolkiah dan Sultan Sharif Ali pada tahun 2020, Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja pada tahun 2022 dan konservasi Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Tapak Arang Batu pada tahun 2024.

“Selain itu, Projek Jejak Warisan atau pun Heritage Trail yang diperkenalkan sejak 2017 telah menghubungkan beberapa monumen bersejarah di Bandar Seri Begawan dan sehingga kini telah berjaya menarik lebih sejumlah 30,000 pelawat setiap tahun.

“Dalam memastikan keselamatan dan pemeliharaan tapak-tapak bersejarah, beberapa langkah telah diambil dan dirancang. Ini termasuklah pemasangan papan tanda maklumat dan larangan di lokasi-lokasi berisiko, penyediaan pagar keselamatan dan pusat informasi bagi pengunjung dan kerjasama dengan UNESCO untuk mendapatkan kepakaran dalam pemuliharaan warisan,” terang Yang Berhormat pada persidangan hari kelapan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Yang Berhormat seterusnya menambah bahawa kementerian ini juga giat menyusun senarai bangunan berpotensi untuk dimasukkan dalam Inventori Warisan Negara, bagi memastikan warisan bersejarah yang mempunyai nilai tinggi akan terus terpelihara.

Dengan usaha berterusan ini, tambah Yang Berhormat, pemeliharaan warisan bukan Sahaja menjaga sejarah dan identiti negara tetapi juga berpotensi untuk memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi Brunei, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI