13.03.25 Projek pembinaan semula Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong telah siap

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 13 Mac. – Pada hari ke-11 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh mengongsikan bahawa projek pembinaan semula Sekolah Menengah Sultan Hassan Bangar, Temburong telah siap.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan mengongsikan perkara ini dalam memberi respon kepada soalan Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampong Labu Estate dan Piasau-piasau, mengenai projek pembinaan semula sekolah tersebut yang diperuntukkan BND4.2 juta menurut Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-12.

“Sebenarnya sekolah ini sudah siap, bajet yang ada ini adalah untuk penyediaan akaun terakhir VO bagi pembayaran ‘penalty made claim’ dan jua ‘retention money’,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Mengenai isu kebajikan guru dan kemudahan tempat tinggal di Temburong yang juga dibangkitkan, Yang Berhormat Menteri Pendidikan menjelaskan pihak Kementerian Pendidikan kini dalam proses membaiki ‘institutional quarters’ seperti flat.

“Memang diakui ‘supply’ adalah tidak mencukupi, oleh yang demikian, Jabatan Pentadbiran dan Perkhidmatan akan mengenal pasti flat-flat ataupun perumahan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan yang berdekatan dengan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.​

Terdahulu, Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga memberi respon kepada Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat Zon 1, yang mengemukakan soalan berkaitan infrastruktur sekolah.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan menjawab ianya ada dalam kategori penyelenggaraan dan pembaikan aset.

“Ada 13 peratus, 13.57 peratus disediakan dalam anggaran lebih BND22 juta. Ianya boleh dilakukan melalui OCCM ataupun Outside Corrective Maintenance peruntukan yang dikhaskan untuk ‘facility management’,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga memberi respon mengenai isu banjir yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong Zon 1.

Dalam persoalannya Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bertanya adakah akan diberikan pengecualian bagi pelajar-pelajar yang sekolahnya mengalami banjir semasa hendak menjalani peperiksaan ‘O’ Level.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan dalam memberi jawaban menjelaskan pelajar-pelajar tersebut akan dipindahkan ke sekolah lain serta dengan pusat pemeriksaan.

“InsyaaAllah akan diberikan pengangkutan jika ada keperluan atau diberikan tempat tinggal sementara misalnya di hostel atau sebagainya dan terus menghadapkan laporan ke Board of Examinations dalam hal ini, kalau ‘O’ Level, kita akan menghubungi pihak Cambridge,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Berkenaan dengan isu disiplin yang telah ditimbulkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Md. Salleh bin Haji Othman, Penghulu Mukim Bukit Sawat; Yang Berhormat Menteri Pendidikan mempunyai satu Jawatankuasa Tatatertib yang akan menangani isu-isu berkenaan disiplin dalam kalangan guru dan mereka akan dirujuk untuk membuat kaunseling.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI