BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Mac. – Pada Perbahasan Peringkat Jawatankuasa bagi Rang Undang-Undang Perbekalan 2025/2026 dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan dalam Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Ke-21, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman sangat mengalu-alukan dan menyambut baik soalan-soalan yang telah disenaraikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara.
Antaranya berkaitan mengenai usaha meningkatkan prestij qari dan qariah negara dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran melalui latihan yang lebih berstruktur, sistemik dan intensif bagi mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi serta cadangan penubuhan Akademi Teranum Al-Quran Brunei bagi menyediakan modul latihan dan kursus secara intensif bersama pakar, yang dibangkitkan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim pada hari ke-12 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Menjawab mengenai perkara itu, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan Akademi Al-Quran dikaitkan dengan satu pencapaian di peringkat antarabangsa dan peringkat serantau yang perlu diambil kira dalam KPI-KPI wawasan, dan cadangan tersebut adalah sangat praktikal, namun ia sudah selari dengan apa yang sudah dibuat dan dirancang oleh kementerian pada masa dahulu sekitar tahun 70an melalui Jabatan Ugama atau daripada inisiatif para qari.
”Pada tahun 70an itu, inisiatif daripada qari-qari sendiri menubuhkan Majlis Qura’ penggalarnya. Ertinya suatu Majlis Pembaca-Pembaca Al-Quran dan dari sanalah lahir pembaca-pembaca yang awal itu, peringkat awal dan di sanalah jua telah berhasil, apa namanya atu, johan kitani peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur.
Jadi yang ini telah berkembang, kemudian apabila sudah ia menjadi suatu perkara yang dilihat sangat berkesan dalam peningkatan ilmu Al-Quran, maka ditubuhkan oleh Jabatan Pengajian Islam namanya STAR – Skim Tilawah Al-Quran Remaja,” ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Seterusnya, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui bahagian syiar juga mengambil langkah-langkah sepertimana Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman cadangkan tadi, iaitu mengambil kesempatan daripada qari-qari yang ternama di rantau ini untuk dijemput bagi membimbing qari-qari yang lain.
Ini jelas Yang Berhormat Menteri lagi, telah dilakukan secara tidak ketara dengan mengadakan peraduan musabaqah, yang mana qari jemputan sama ada sebagai pembaca atau pun sebagai hakim, mereka ini juga diaturkan untuk membimbing qari-qari kitani dalam tilawah ini yang dinamakan taranum.
Di samping itu tambahnya lagi, usaha-usaha yang berterusan oleh kementerian dalam perkara ini akan difikirkan dan berharap agar perkembangan daripada Majlis Qura’ kepada STAR dan usaha-usaha mengenai bimbingan daripada pembaca-pembaca yang dijemput pada musim musabaqah atau dijemput dari semasa ke semasa, serta cadangan untuk menubuhkan Akademi Tilawah Al-Quran itu akan dilihat lebih lanjut lagi menurut kesesuaiannya.
Perkara ini juga turut mendapat perhatian Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Awang Md. Yusof yang menyatakan dalam memastikan penyebaran dakwah syiar Islam yang berkesan dengan memperkasa budaya dan amalan penghayatan beragama sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna ke arah kehidupan cemerlang duniawi dan ukhrawi selaras dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah, Negara Brunei Darussalam telah berjaya menghasilkan jumlah bilangan huffaz-huffaz, penghafal Al-Quran dari setahun ke setahun yang semakin bertambah, malahan ada daripada mereka ini telah mencapai ke tahap persada antarabangsa yang mengharumkan Negara Brunei Darussalam.
Justeru dalam melaksanakan Program Tadabbur Al-Quran ini katanya, adalah disarankan agar dapat dikembangmajukan dan dimartabatkan serta dilaratkan sehingga diadakan ke Peringkat Diploma dan seterusnya ke Peringkat Ijazah di institusi-institusi pengajian tinggi yang bersesuaian di negara ini sehingga kita berjaya menghasilkan lebih ramai lagi pakar-pakar yang berkemahiran dalam jurusan ini dalam kalangan anak-anak tempatan.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




