15.03.25 Memperkasa ekosistem halal Brunei

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Mac. – Sektor pensijilan halal bukan saja melibatkan pemantauan makanan yang dipasarkan tetapi juga keseluruhan rantaian bekalan daripada ladang ke produk akhir. Jika kita lihat pada skop yang lebih luas, sektor pertanian, penternakan dan pemprosesan makanan adalah asas utama bagi Industri Halal Brunei. Dalam konteks ini, kesediaan peruntukan yang mencukupi adalah penting bagi memastikan pematuhanan halal di setiap peringkat pengeluaran makanan bukan hanya dalam produk akhir.

“Berdasarkan Kod 005/000 Pemeliharaan Promosi Akal, yang diperuntukkan untuk sektor Pendidikan Ugama termasuk Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Dalam hal ini, kaola melihat potensi besar untuk institusi-institusi ini memainkan peranan lebih aktif dalam penyelidikan halal. Teknologi halal dalam pertanian dan pemprosesan makanan adalah bidang yang semakin berkembang merangkumi kajian proses penyembelihan yang lebih efisien, pembangunan alternatif bahan halal dan pemprosesan makanan serta pembangunan teknologi halal yang dapat meningkatkan daya saing produk tempatan di pasaran antarabangsa.”

“Kaola berpandangan bahawa usaha memperkasa ekosistem halal Brunei boleh diperkukuh dengan manfaat dana secara lebih fokus kepada perkembangan Industri Halal terutama dalam sektor pertanian dan pemprosesan makanan,” saran Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck semasa membahaskan Tajuk Kementerian Hal Ehwal Ugama pada hari ke-12 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN bagi Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menyambut baik saranan Yang Berhormat Awang Lau How Teck memandangkan latar belakang Yang Berhormat sebagai pengusaha yang turut menumpukan dalam mengangkat taraf Sijil Halal ke peringkat antarabangsa.

Menurut Yang Berhormat, pensijilan halal itu bukan saja menumpukan pada pensijilan halal sahaja tetapi pentauliahan mahupun pengiktirafan turut menyumbang kepada perkembangan ekosistem justeru penglibatan semua pihak amat penting dalam usaha-usaha melahirkan, mewujudkan produk-produk halal.​

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI