15.03.25 Pelbagai program intervensi dilaksanakan bagi pembasmian kemiskinan

​BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 15 Mac. – Data yang tersedia di Jabatan Pembangunan Masyarakat adalah jumlah dan juga peratus penerima bantuan kebajikan bulanan (BKB) yang tidak lagi layak untuk menerima BKB kerana terkeluar daripada syarat kelayakan seperti mempunyai pendapatan bulanan melebihi kadar Kos Minima Keperluan Asas (KMKA).

 

Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Nazmi bin Haji Awang Mohamad berkata demikian ketika menjawab persoalan daripada Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau atas persoalan mengenai penerima bantuan keluar daripada program bantuan kebajikan.

 

Yang Berhormat juga seterusnya mengongsikan bahawa pada tahun 2024, seramai 180 penerima BKB daripada 2,441, iaitu 7.4 peratus telah keluar daripada program bantuan di mana secara keseluruhan, jumlah penerima Bantuan Kebajikan Bulanan menunjukkan trend penurunan dari tahun 2021 hingga 2023, di mana angka penerima menurun daripada 3,838 orang pada 2021 kepada 2,161 orang pada tahun 2023.

 

Antara faktor penurunan ini, terang Yang Berhormat, adalah keberkesanan program-program intervensi yang telah terangkan melalui kenyataan Menteri sebelum ini yang menggariskan Pelaksanaan dan Perancangan Strategik Pembasmian Kemiskinan, seperti Program Keusahawanan dan Pekerjaan, Program Latihan Kemahiran dan Meningkatkan Kebolehpasaran, termasuk juga program-program bantuan pendidikan khususnya bagi anak-anak penerima bantuan secara terperinci.

 

Tambah Yang Berhormat pula, berkaitan dengan penglibatan pihak swasta dalam Strategi Pembasmian Kemiskinan, kementerian ini akan terus bekerjasama dengan lebih erat dengan pihak swasta : Pertama, Pengukuhan Program Latihan Kemahiran – untuk menyediakan latihan kemahiran yang relevan dengan permintaan industri, bagi meningkatkan kebolehpasaran penerima bantuan.

 

Kedua, Peningkatan Peluang Pekerjaan – untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi golongan yang memerlukan bantuan, khususnya dalam sektor yang berkembang seperti teknologi dan perkhidmatan.

 

Ketiga, Sokongan Keusahawanan – memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta untuk menyediakan sumber dan platform bagi penerima bantuan untuk menceburi bidang keusahawanan, seperti penyediaan modal permulaan, latihan pengurusan perniagaan, dan rangkaian pemasaran.

 

Keempat, Meningkatkan Akses kepada Pembiayaan – bekerjasama dengan institusi kewangan dan bank swasta untuk menyediakan akses yang lebih mudah kepada pembiayaan bagi penerima bantuan yang ingin memulakan perniagaan atau mengembangkan kemahiran.

 

”InsyaaAllah kerjasama ini akan memastikan lebih banyak peluang disediakan bagi penerima bantuan untuk berdikari, meningkatkan kualiti hidup mereka, dan mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kebajikan. Pihak kerajaan akan terus memperkukuh peranan pihak swasta dalam memastikan keberkesanan dan kelestarian program-program ini,” jelas Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

 

Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menjawab cadangan daripada Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin Bin Ya’akub, Penghulu Mukim Ukong di Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN pagi tadi yang mana menjelaskan Jabatan Muzium-Muzium kini memberi keutamaan kepada projek yang sedang dilaksanakan yang mana cadangan untuk menyediakan galeri sebagai wadah mengetengahkan warisan sejarah, budaya dan kesenian bagi Daerah Tutong akan dipertimbangkan bersama pihak daerah yang berkenaan, dengan mengambil kira keperluan perancangan yang teratur, khususnya daripada segi lokasi, pengisian termasuk peruntukan.

(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI