BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 20 Mac. – Perancangan dan pertimbangan bagi cadangan membina Skim Perumahan Negara Luar Bandar yang berskala kecil perlu diteliti dan dibuat kajian lanjut terlebih dahulu bagi memastikan sambutan dan keberkesanan projek sebagai sebuah penempatan serta kehidupan yang selesa bagi bakal penduduk.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat, mengenai perancangan kementerian untuk membina Skim Perumahan Negara Luar Bandar yang berskala kecil.
Pada masa ini, jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan, pihak kementerian memberi tumpuan terhadap pembangunan perumahan di kawasan yang sudah mempunyai atau berdekatan kemudahan asas sedia ada seperti sekolah, kawasan komersil dan kemudahan-kemudahan awam yang lain.
Dalam hubungan ini, beberapa pusat pertumbuhan luar bandar telah dikenal pasti oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) sebagai tapak yang boleh difikirkan untuk melaksanakan skim berkenaan secara lebih terancang antaranya Pusat Pertumbuhan Kampung Sungai Mau di Daerah Belait.
“Ada tapak yang sudah difokuskan untuk tujuan ini jika ia mendapat pertimbangan dan kelulusan nanti dan jua Pusat Pertumbuhan Kampung Labi, di Daerah Tutong, Pusat Pertumbuhan Lamunin Menengah di antara kawasan yang difokuskan untuk tujuan ini dan jua selain itu ada kawasan Sungai Supon Besar di Tutong. Perancangan pembinaan perumahan di pusat-pusat pertumbuhan ini adalah antara usaha kementerian supaya mukim luar bandar mempunyai penempatan yang terancang. Melalui penempatan yang terfokus di kawasan-kawasan tersebut, penduduk kampung dapat terus kekal di mukim asal mereka dalam persekitaran lingkungan sosial dan keluarga dan mempunyai kemudahan asas yang mencukupi,” ujar Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan, ia juga tertakluk kepada beberapa pertimbangan penting selain kajian lanjut yang perlu dibuat termasuk sambutan para pemohon bagi penempatan berkenaan.
(Sumber berita & gambar: Pelita Brunei)




