28.03.26 Sentiasa peka, menghayati nadi rakyat

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Mac. – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia titah baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN yang telah menjadi panduan sepanjang mesyuarat yang kita adakan, khususnya dalam membahaskan perkara-perkara strategik yang memfokus terhadap masalah rakyat dan negara.

Semangat titah baginda tersebut tambah Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN, telah jelas tercermin dalam perisian perbahasan yang diadakan dalam suasana produktif, beradab dan penuh hormat.

“Ahli-ahli Yang Berhormat telah membawakan perbincangan yang tinggi mutunya, jadi saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat atas penyertaan, sokongan serta kerjasama padu yang telah diberikan sepanjang mesyuarat pertama kita pada tahun ini,” ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN pada hari ke-11 Persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN juga seterusnya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Ahli Yang Berhormat atas penyertaan, sokongan, dan kerjasama padu sepanjang mesyuarat, serta kepada pegawai dan kakitangan MMN, kementerian, jabatan dan agensi berkaitan yang memastikan setiap urusan mesyuarat dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur, dan berkesan.

Ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN, dalam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 ini, kita telah beberapa berjaya perkara menyelesaikan utama iaitu meluluskan empat Usul dan Rang Undang-Undang (2026) Perbekalan, 2026/2027. Dewan yang mulia ini juga telah mendengar empat kenyataan menteri dan merespons kepada sebanyak 215 pertanyaan daripada menteri-menteri.

Semua ini tambah Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN, diadakan dalam bulan Ramadan dan juga seterusnya dalam bulan Syawal yang penuh keberkatan.

“Boleh dikatakan keadaan mesyuarat tahun ini berlainan serta sedikit mencabar dan saya menyedari bahawa Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua yang terlibat juga telah mengorbankan masa termasuk pada hari Jumaat dan Ahad. Namun, inilah namanya semangat kenegaraan iaitu bertugas demi bangsa dan negara dengan penuh rasa cinta, kesetiaan dan tanggungjawab yang sangat mendalam,” jelas Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.

Sememangnya bertugas untuk negara, memerlukan pengorbanan telus, kecekalan hati dan semangat juang yang tinggi demi menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan. Semoga setiap usaha menjadi ibadat yang berlipat ganda pahalanya di sisi Allah Subhanahu Wata’ala.

Seterusnya, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN berkata, sepanjang mesyuarat ini, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN menghargai komitmen Ahli-ahli Yang Berhormat dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dibangkitkan dengan semangat musyawarah, hikmah dan kebijaksanaan.

Bagi Yang Berhormat, inilah cara terbaik di mana apa-apa permasalahan pun dapat diselesaikan dengan mendengar dari berbagai sudut pandangan serta idea-idea termasuk dari masyarakat, kemudian membincangkan dan menimbangkannya bersama dari aspek kepentingan semua pihak yang terlibat demi menghasilkan keputusan yang terbaik dan disepakati.

Dewan yang mulia ini perlu terus menunjukkan kesepakatan seperti yang ditunjukkan sewaktu membincangkan belanjawan negara ini. Ini adalah kerana harapan kita adalah sama tidak kira dari Ahli Rasmi Kerana Jawatan mahupun Ahli Yang Dilantik iaitu demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

“Ahli-ahli Yang Berhormat, sebagai Yang Di-Pertua Dewan, saya mempunyai keistimewaan untuk mendengar dan meneliti apa dan cara percakapan setiap ahli. Sebagai contoh, penetapan had masa telah mencabar ahli-ahli untuk menyesuaikan diri pada awalnya, ada yang mengeluh seolah-olah tidak dapat ternafas, tetapi sekarang nampaknya Ahli-ahli Yang Berhormat sudah dapat menyesuaikan diri dan dapat sudah bernafas seperti biasa. Sebenarnya rahsianya adalah bercakap, tetapi lebih kepada penyusunan perisian kepada dengan penggunaan bahasa yang padat yang mana ini adalah cara terbaik untuk menyampaikan maklumat ‘straight to the point’.

“Di samping itu, apa yang dibahaskan atau disampaikan perlu sentiasa berasaskan kepada fakta dan ‘substance’ iaitu isu penting yang dekat dengan kehidupan dan kerisauan rakyat. Pendekatan seperti Sesi-Sesi Dialog dan Muzakarah Ahli-ahli Yang Berhormat bersama kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan perlu diteruskan, diperkasakan dan dimanfaatkan sepenuhnya di luar dewan yang mulia ini, khususnya dalam memeduli keluhan rakyat dan isu-isu sebenar secara lebih menyeluruh dan konstruktif,” tekan Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.

Dalam ahli-ahli menjalankan tugas rasmi, Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN berharap ahli-ahli akan terus berkhidmat dengan penuh integriti, tanggungjawab dan komitmen demi memastikan usaha yang dirancang dapat diterjemahkan kepada manfaat yang nyata kepada rakyat dan negara.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN berharap ahli-ahli akan sentiasa peka dan menghayati nadi rakyat kerana adalah menjadi tanggungjawab untuk membincangkannya di sini. Sebagai contoh, sewaktu perbahasan Jawatankuasa Perbekalan, pelbagai aspek dibincangkan termasuk keperluan memperluaskan peluang pekerjaan khususnya bagi belia dan usaha memperkukuhkan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana sebagai pemacu ekonomi negara.

Ahli-ahli juga, tambah Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN, telah memberi perhatian kepada kepentingan transformasi digital dan penyampaian perkhidmatan kerajaan. Seperti dalam ucapan Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin yang mengingatkan kita akan kepentingan pengurusan kewangan negara secara berhemah dan disiplin serta pengurusan fizikal yang berhati-hati dan cekap.

“Perkara yang sama juga turut dizahirkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd. Yusof dalam bentuk sebuah pantun mengenai pengurusan belanjawan negara dengan titih dan amanah demi kemakmuran negara serta kesejahteraan rakyat.

“Suara dari rakyat juga kedengaran melalui beberapa hujah yang dibawakan contohnya oleh Yang Berhormat Awang Lau How Teck yang membangkitkan mengenai aspek penyelidikan dan inovasi agar sektor pertanian lebih moden, produktif dan berdaya saing. Wakil daerah juga membawa beberapa harapan masyarakat contohnya agar pembangunan negara tidak tertumpu kepada pusat-pusat ekonomi tertentu sahaja tetapi juga bagi masyarakat di pelbagai kawasan seperti yang pernah diutarakan oleh Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed. Saya amat menghargai kesediaan dan keberanian Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengemukakan pandangan yang bernas dan membina,” jelas Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN lagi.

Walau bagaimanapun, tambah Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN, mungkin terdapat perbezaan pandangan, perbahasan telah berlangsung dalam suasana yang tertib dan saling hormat-menghormati dan ini perlu terus dipelihara. Ahli-ahli Rasmi Kerana Jawatan juga telah memberikan respons yang baik. Yang Berhormat amat berharap mana-mana cadangan, pandangan dan teguran yang telah dikemukakan bukannya menjadi rekod perbahasan semata-mata, sebaliknya disusuli dengan tindakan yang bersesuaian.

Ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN, sebagai peringatan, terdapat beberapa perkara yang ditimbulkan dalam perbahasan di Peringkat Jawatankuasa Perbekalan yang memerlukan ulasan lanjut daripada Yang Berhormat Ahli-ahli Rasmi Kerana Jawatan. Yang Berhormat berharap respons akan dapat disampaikan dengan jelas kepada ahli-ahli yang berkenaan dalam tempoh terdekat dan menggalakkan bagi respons tersebut diterbitkan di laman sesawang kementerian atau platform bersesuaian masing-masing bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangannya seperti yang dilaksanakan di negara-negara lain.

“Kita berkeadaan dalam dunia yang penuh dengan ketidaktentuan. Kuasa-kuasa besar sedang bertikai dan ini menjadikan keadaan masa ini agak rumit. Bumi ini sudah menjadi sesungguhnya kecil. Apa yang terjadi di satu kawasan sudah setentunya akan mempengaruhi kawasan-kawasan walaupun jauh dari segi geografi. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana kita dalam keadaan aman damai tetapi setentunya tidak terlepas ketempiasan keadaan-keadaan ini.

“Oleh itu, mungkin juga ada langkah-langkah yang perlu diambil oleh negara untuk mengatasi perkara-perkara ini. Saya berharap setiap apa yang dirancang, walaupun berhadapan dengan ujian, cabaran dan keadaan yang berlaku di dunia, masih ada kesempatan untuk memperbaiki dan meningkatkan keupayaan kita bersama,” jelas Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.

Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengajak sama-sama berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan, kesejahteraan serta kekal karar di atas tampuk pemerintahan Negara Brunei Darussalam dengan berlandaskan iman, hidayah dan petunjuk dari Allah Subhanahu Wata’ala jua.

Semoga Negara Brunei Darussalam akan terus dilimpahi rahmat dan perlindungan-Nya, dikurniakan keamanan, kemakmuran dan kestabilan yang berterusan dan semoga seluruh rakyat dan penduduk negara ini sentiasa berada dalam kesejahteraan, perpaduan dan mendapat keberkatan dalam setiap usaha yang dilaksanakan.

“Dengan ini, maka Majlis Mesyuarat Negara ini, kita ditangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan tarikhnya. InsyaaAllah, kita akan berjumpa lagi di Mesyuarat Kedua dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara pada tahun ini,” ujar Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI