BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha menjelaskan, pelaksanaan Projek Rintis Kenderaan EV yang telah dilancarkan pada 18 Mac 2021 bagi tempoh selama dua tahun yang mana telah berakhir pada Mac 2023 telah membantu dalam memberikan pendedahan berhubung penggunaan kenderaan elektrik (EV).
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi berucap demikian pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, semasa menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, juga Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong mengenai perancangan perkembangan EV.
Jelas Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi lagi, kelebihan-kelebihan penggunaan EV dan peralatan pengecasan kenderaan elektrik serta menilai kebolehlaksanaan dan penerimaan orang ramai terhadap penggunaan kenderaan elektrik di pasaran domestik. Sepertimana juga Lengkung Penerimaan Teknologi (Technology Adoption Curve) yang mempunyai lima fasa.
Penerimaan EV di negara ini kata Yang Berhormat, sudah berpindah daripada peringkat kumpulan perintis kepada peringkat majoriti awal, pengguna majoriti awal. Fasa ini mewakili golongan pengguna pragmatik yang telah beralih kepada kenderaan elektrik setelah melihat bukti nyata tentang ketahanan bateri dan penjimatan kos penyelenggaraan.
“Pada tahap ini, EV bukan hanya untuk peminat teknologi tetapi mula diterima sebagai pilihan pengangkutan yang diterima oleh masyarakat umum. Ini adalah berikutan testimoni atau bukti bahawa teknologi itu benar-benar berfungsi dan berbaloi. Peralihan ini juga telah dibantu oleh pengenalan kadar lesen kenderaan yang rendah berbanding dengan kenderaan enjin konvensional,” ujar Yang Berhormat.
Menurut Yang Berhormat lagi, kerisauan mengenai jumlah stesen pengecas awam yang tidak mencukupi, juga tidak menjadi penghalang disebabkan mod utama adalah pengecasan di rumah. Dengan sokongan stesen pengecasan yang disediakan oleh pengedar-pengedar kenderaan dan pemilik bangunan komersial di lokasi-lokasi terpilih juga membantu dengan penerimaan ini. Setakat Januari 2026, dalam lingkungan 2,000 buah kenderaan elektrik Hybrid Plug-in (PHEV) dan EV sudah didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Darat (JPD).
Dalam hubungan ini kata Yang Berhormat, PHEV ialah yang paling popular kerana ia menawarkan pilihan terbaik bagi pemandu yang dalam fasa peralihan daripada kereta petrol tradisional kepada kenderaan elektrik sepenuhnya.
PHEV, jelas Yang Berhormat, merapatkan jurang antara enjin pembakaran dalaman, ICE dan kenderaan elektrik bateri dengan menyediakan kecekapan elektrik untuk kegunaan harian tanpa kekangan yang ada pada sebuah EV penuh.
“Pada masa yang sama, pilihan model yang juga semakin bertambah serta harga kenderaan-kenderaan PHEV dan EV yang semakin lebih kompetitif. Setakat ini juga sejumlah 40 EV ‘charging stations’ dan 45 ‘charging points’ telah pun dipasang di tempat-tempat yang dikenal pasti dan menyediakan pelbagai tahap kemudahan yang merangkumi pengecasan khas untuk jenama tertentu, kegunaan orang ramai serta pemilihan pengecasan percuma atau yang berbayar.
“Khususnya bagi Daerah Temburong, sepertimana pertanyaan Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman, buat masa ini di Temburong terdapat hanya satu stesen pengecas di The Abode Resort and Spa tetapi hanya bagi pemilik-pemilik jenama tertentu.
“InsyaaAllah, dengan meningkatnya penggunaan PHEV dan EV di Daerah Temburong, kemudahan pengecas mungkin akan bertambah,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


