BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad menjelaskan bahawa cadangan membangunkan kompleks sukan serbaguna moden di Daerah Temburong akan diteliti secara menyeluruh dan berfasa dengan mengambil kira keperluan sebenar serta potensi jangka panjang daerah berkenaan.
Perkara tersebut dinyatakan semasa menjawab ulasan dan cadangan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, petang tadi.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjelaskan, Daerah Temburong tidak terkecuali daripada perancangan pembangunan negara. Kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sentiasa mengambil pendekatan menyeluruh dalam menilai keperluan pembangunan prasarana sukan dengan mengambil kira tahap kesediaan, keperluan semasa serta potensi jangka panjang.
Antara pertimbangan utama, kongsi Yang Berhormat, ialah jumlah penduduk dan keperluan semasa. Perancangan pembangunan fasiliti sukan adalah berasaskan keperluan sebenar penduduk. Daerah Temburong mempunyai jumlah penduduk sekitar 10,000 orang, secara relatifnya lebih rendah berbanding daerah-daerah lain.
Walau bagaimanapun, tambah Yang Berhormat, fasiliti sukan sedia ada di daerah berkenaan telah dinaiktaraf dalam dua Tahun Kewangan yang lalu, termasuk padang dan trek di Kompleks Sukan Temburong. Keperluan menyediakan fasiliti berskala besar pada masa ini masih dalam penelitian dan perlu diseimbangkan dengan tahap penggunaan serta keberkesanan pelaburan jangka panjang.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat menegaskan kementerian sentiasa terbuka sekiranya terdapat minat daripada pelabur untuk membangunkan fasiliti sukan seumpamanya. Mana-mana kompleks sukan atau tapak di mana-mana daerah, termasuk Temburong, akan dipertimbangkan dan dibukakan secara adil sekiranya terdapat minat pelaburan.
Menyentuh pendekatan inklusif ‘no one is left behind’, Yang Berhormat berkata kerajaan akan terus memastikan akses kepada kemudahan sukan melalui penaiktarafan fasiliti sedia ada, khususnya Kompleks Sukan Batu Apoi. Kompleks berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan asas seperti trek olahraga yang telah dinaiktaraf, kolam renang serta gelanggang serbaguna bagi sukan antaranya bola jaring dan sepak takraw.
Terang Yang Berhormat, selain memenuhi keperluan masyarakat setempat, kompleks tersebut juga pernah menjadi tuan rumah pelbagai acara seperti ASEAN Sport Day tahun lalu serta kejohanan sukan termasuk Liga Super bola sepak peringkat kebangsaan. Ini menunjukkan fasiliti sedia ada masih relevan dan mampu menampung keperluan aktiviti sukan semasa secara efektif.
Strategi semasa turut memberi penekanan kepada pengoptimuman fasiliti sedia ada melalui pendekatan perkongsian, termasuk memaksimumkan penggunaan dewan sekolah dan kemudahan komuniti bagi pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Pendekatan ini dapat mengelakkan pertindihan pembangunan fasiliti, seterusnya memastikan penggunaan sumber yang lebih cekap dan mampan.
Dari segi kerjasama dengan sektor swasta, ujar Yang Berhormat, kerajaan menggalakkan penglibatan pihak swasta dalam membangun, mengurus dan menyelenggara fasiliti sukan yang berpotensi menjana pertumbuhan ekonomi setempat serta mewujudkan peluang pekerjaan. Sehubungan itu, kementerian telah dan sedang melaksanakan inisiatif Request for Proposal (RFP) bagi membuka peluang kepada syarikat swasta membangunkan fasiliti sukan di tapak-tapak berpotensi.
Kongsi Yang Berhormat, projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta melalui kaedah pajakan tanah, dengan syarikat bertanggungjawab terhadap kajian kebolehlaksanaan, reka bentuk, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan fasiliti. Inisiatif ini telah dilaksanakan secara berfasa di beberapa daerah, antaranya di Kampung Terunjing, Kampung Lambak Kanan dan di Daerah Belait.
Pendekatan yang diambil adalah bersifat holistik dan berimpak tinggi, di mana sebarang pembangunan masa depan akan menitikberatkan konsep pelbagai guna yang bukan sahaja memenuhi keperluan sukan prestasi dan pembangunan atlet, malah berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti termasuk penganjuran acara kemasyarakatan dan program pembangunan belia.
Terdahulu, Yang Berhormat mewakili kementerian dengan penuh hormat dan takzim menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas peruntukan keseluruhan Tahun Kewangan 2026/2027 berjumlah BND94,400,570, iaitu BND80,451,970 bagi perbelanjaan biasa dan BND13,949,600 bagi perbelanjaan kemajuan.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


