BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, beberapa soalan yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli MMN, iaitu mengenai skop memperluaskan aktiviti dakwah yang disesuaikan dengan perubahan sosial dan kemajuan teknologi bagi menarik minat generasi muda oleh Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong.
Termasuk kerjasama strategik di antara institusi pendidikan, NGOs dan komuniti setempat bagi memperkukuh ekosistem dakwah negara yang disuarakan oleh Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Salleh bin Haji Othman, juga Penghulu Mukim Bukit Sawat, Daerah Belait; dan skop memanfaatkan teknologi digital bagi memperkukuh sistem pendidikan agama dan penyampaian dakwah oleh Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, juga Ketua Kampung Sengkarai, Daerah Tutong.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman menjelaskan, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui pelbagai jajarannya, iaitu Bahagian Teknologi Maklumat (BTM), Pusat Da’wah Islamiah (PDI), Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB).
Tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama lagi, pihak-pihak berkepentingan yang sama dalam penggunaan teknologi digital seperti Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta komuniti setempat telah merangka pelbagai inisiatif dakwah yang disesuaikan dengan perubahan sosial dan kemajuan teknologi digital sesuai dengan minat industri muda.
Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat menegaskan bahawa inisiatif yang utama KHEU ialah untuk memperkasa infrastruktur digital dakwah dengan pemasangan capaian internet di masjid-masjid dan surau, membangun platform laman sesawang yang mesra pengguna serta menyediakan perisian kreatif. Dalam masa yang sama, belia-belia turut dilibatkan sebagai sukarelawan membantu orang ramai untuk mengguna pakai portal ‘e-service’ ugama.
Dari segi media sosial jelas Yang Berhormat lagi, kolaborasi bersama PDI telah menghasilkan pelbagai perisian atau kandungan dakwah di platform Instagram, Youtube, TikTok, Threads dan lain-lain dengan ‘engagement’ yang meningkat.
“Sebagai contoh saja, kaola diberikan angka bahawa Instagram Story meningkat daripada 13,082 pada tahun 2024 kepada 144,254 pada tahun 2025, iaitu peningkatan lebih kurang 11 kali ganda.
“Namun demikian, kaola difahamkan angka yang direkodkan pada tahun 2024 sebanyak 13,082 itu berkemungkinan besar belum merekodkan daripada platform-platform lain dalam jajaran, apa namanya tu, platform Pusat Dakwah keseluruhannya kerana itulah angkanya sedikit 13,082, itu kemungkinan besar.
“Sementara melalui media penyiaran, iaitu ‘broadcasting’. Kolaborasi dengan Radio Televisyen Brunei (RTB) pula telah menyiarkan rancangan-rancangan harian, mingguan dan berkala seperti ‘The Beauty of Islam’, ‘Permata Iman’, ‘Tazkirah Rampai Pagi’ dan beberapa rancangan kerohanian di televisyen lainnya,” ujar Yang Berhormat.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, melalui siaran radio pula, termasuklah inti sari Khutbah Jumaat dan Tadabbur Al-Quran. Mengenai Khutbah Jumaat, ada inisiatif dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, menjadikan Khutbah Jumaat setiap Jumaat itu disiarkan dalam bentuk infografik yang memudahkan orang ramai mengikuti isi khutbah. Bukan sahaja dalam Bahasa Melayu bahkan dalam Bahasa Inggeris.
Tambah Yang Berhormat lagi, demikian pula melalui program-program kebeliaan seperti perkhemahan ACE, Munajat Khas dan ‘Faith and Soul Camp’ dan lain-lain kegiatan belia dalam kesukanan sedemikian itu menunjukkan betapa teknologi digital dan penyiaran di samping program-program kebeliaan dan kolaborasi bersama pihak-pihak yang berkepentingan sama adalah pada mengukuhkan ekosistem dakwah dan pendidikan kerohanian.
“Begitu pula secara jalinan kolaborasi dalam kerjasama strategik dengan institusi pendidikan dan pengajian tinggi UNISSA umpamanya, menghasikan kajian tentang mualaf dan dengan KUPU SB menghasilkan program Tadabbur Al-Quran dan Nadi Daie dan kerjasama strategik dengan ITQSHHB pula menghasikan video dakwah kreatif.
“Kesemua inisiatif yang disebutkan adalah menjadi pengukuh ekosistem dakwah senegara seperti yang diharapkan oleh sahabat-sahabat kaola di dewan ini, iaitu yang pertama, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin yang bertanya sambil menyarankan, ini Alhamdulillah Yang Berhormat difahamkan bukan sahaja bertanya tapi bahkan juga menyarankan agar kemajuan teknologi tentu dimaksudkan teknologi digital di samping juga teknologi penyiaran dimanfaatkan dalam memperluaskan aktiviti dakwah untuk menarik minat generasi muda.
“Begitu pula dengan soalan dari Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Mohd. Salleh yang juga bertanya dengan maksud berharap agar kerjasama strategik dilakukan dengan institusi pendidikan dengan NGO dan dengan komuniti setempat bagi memperkukuh dakwah negara dan ini sedang dan akan terus dilakukan, terima kasih, dan seterusnya Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz yang menanyakan yang kaola fahami bermaksud ingin tahu sambil juga mengandungi saranan-saranan yang dapat difahamkan daripada soalan tersebut, bagaimanakah teknologi digital dimanfaatkan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan ugama dan penyampaian dakwah,” ujar Yang Berhormat lagi.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


