25.03.26 Mengurangkan proses penaksiran duti setem yang dihadapkan melalui kaunter

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Berhubungan dengan duti setem digital, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah menjelaskan dalam memperkemaskan lagi tahap perkhidmatan di Bahagian Hasil Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), antara lainnya pengurangan masa menunggu bagi proses penaksiran duti setem secara manual, penggunaan sijil setem telah diperkenalkan bagi mengganti setem secara ‘impressed’ atau ‘adhesive’ sejak ‘module e-stamping’ di dalam One Common Portal (OCP) mula digunakan oleh orang ramai pada 17 Disember 2022.

“Module e-stamping ini merupakan satu ciri yang diperkenalkan dalam OCP bagi membolehkan orang ramai untuk melaksanakan, mengurus dan membayar duti setem bagi instrumen-instrumen tertentu dalam talian tanpa perlu hadir secara fizikal di kaunter-kaunter agensi-agensi pemungut duti setem termasuk Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan dan Jabatan Kehakiman Negara di Jabatan Perdana Menteri”, ujar Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, semasa menjawab persoalan yang diutarakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai duti setem digital.

‘Module e-stamping’ itu kata Yang Berhormat, melibatkan tatacara penaksiran dan pembayaran duti setem seperti berikut pertama, penggunaan borang duti setem secara dalam talian. Kedua, keperluan memuat naik instrumen yang akan disetem. Ketiga, pengiraan duti setem yang dibuat secara ‘automatic’. Keempat, bayaran duti setem secara dalam talian termasuk kaedah yang baharu diwujudkan khusus bagi kutipan duti setem, iaitu menggunakan kad kredit secara dalam talian. Dan kelima, pengeluaran sijil duti setem.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, Bab 4A dan 4B, Akta Setem Penggal 34, membolehkan sistem ini untuk digunakan dalam urusan rasmi serta urusan komersial. Sejak ‘module e-stamping’ ini diperkenalkan, transaksi secara atas talian telah meningkat. Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Bahagian Hasil, MOFE akan meneruskan usaha untuk mengurangkan lagi proses penaksiran duti setem yang dihadapkan melalui kaunter.

“Antara lainnya bekerjasama dengan pihak Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan dan Jabatan Kehakiman Negara di JPM bagi mengenal pasti mana-mana bisnes proses agensi-agensi berkenaan yang melibatkan penaksiran duti setem ini yang dapat diperkemas kini tanpa perlu melibatkan perubahan undang-undang supaya pengguna ‘module e-stamping’ ini dapat digunakan sepenuhnya,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI