BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan, sejak tahun 2022, sebanyak 1,586 rumah telah diagih-agihkan kepada pemohon-pemohon.
Yang Berhormat Menteri Pembangunan berkata, sejumlah 427 penerima telah diberikan penggeranan tanah Lesen Tumpang Sementara bagi membolehkan mereka untuk terus mendiami tanah kerajaan yang mulanya diberikan secara sementara dan kemudian diberikan penggeranan supaya membolehkan mereka untuk dapat memiliki rumah-rumah tersebut atas perkenan dan anugerah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
“Dan dalam untuk terus mensasarkan komitmen Jabatan Kemajuan Perumahan, pada masa ‘ani’ terdapat lima projek perumahan yang melibatkan kira-kira 2,596 unit rumah teres sedang dalam pelaksanaan, termasuk Projek RPN Kampung Tanah Jambu Fasa 7 sebanyak 950 unit yang dijangka siap pada bulan Julai tahun 2026 ini.
“Dengan siapnya fasa ini nanti kawasan Perumahan Negara Kampung Tanah Jambu akan muncul sebagai salah satu pembangunan RPN terbesar yang menghubungkan Mentiri dan Lambak Kanan. Sekali gus membentuk komuniti yang lebih tersusun dengan kemudahan infrastruktur yang lengkap,” ujar Yang Berhormat pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.
Semasa menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin mengenai cara untuk untuk mempercepatkan penyediaan rumah kepada rakyat, Yang Berhormat Menteri Pembangunan seterusnya menjelaskan, projek lain yang dirancang termasuk Perumahan Negara Kampung Lugu Fasa 2B, 576 unit rumah teres, Perumahan Negara Kampung Rimba Fasa 6 sebanyak 330 unit rumah teres, Perumahan Negara Kampung Salambigar 300 unit rumah teres dan Perumahan Negara Kampung Lumut Fasa 7, 400 unit rumah teres yang mana di mana kerja-kerja permulaan adalah termasuk di dalam peruntukan yang diberikan dalam RKN12 pada masa ini.
Sebahagian daripada projek-projek ini, tambah Yang Berhormat, pada masa ini dalam proses penyediaan dan perlaksanaan tawaran bagi kerja-kerja penyelidikan tanah sebelum pembinaan rumah dan yang lainnya dapat dimulakan.
Selain daripada itu katanya, kementerian pada masa ini mengambil pendekatan untuk mencari di mana kesesuaiannya beberapa cadangan yang telah disampaikan iaitu Public Private Partnership (PPP).
“Usaha ini memang ada dibuat beberapa consortium company terutama sekali yang mewakili daripada consortium luar negara, memang ‘kitani’ ada berjumpa dan duduk bersama mereka untuk mencari di mana ia dapat mencapai tujuan dan hajat ‘kitani’ sebagai satu PPP.
“Dan perkara ‘ani’ bukanlah satu perkara yang ‘straightforward’ dan mudah untuk mendapat mencapai kesepakatan kerana dilihat jua consortium ini juga ialah sebagai ‘profit making enterprises’ yang tidak semestinya dapat menerima apa jua cadangan PPP di mana mereka melihat ‘the return of the investment’ itu akan memakan masa yang lama. Jadi perkara ini adalah di antara cabaran-cabaran yang dihadapi,” ujar Yang Berhormat.
Selain daripada itu, tambah Yang Berhormat lagi, satu usaha sedang giat dibuat pada masa ini dengan pelabur di dalam negeri dan insyaaAllah sekiranya kalau ada kejayaan daripada perbincangan dan perundingan mengenai perkara ini akan setentunya akan dikongsikan kemudian nanti.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


