25.03.26 Kementerian Pendidikan sentiasa memantau, menilai penggunaan teknologi, AI

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Kementerian Pendidikan telah melancarkan ‘GenAI Guidance for Education – Handbook Edition’ pada September 2025 bagi memastikan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) dalam kalangan warga sekolah, khususnya para pelajar, dilaksanakan secara berhemah, selamat dan beretika.

Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyatakan demikian sebagai jawapan kepada soalan Ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abd. Rahman bin Haji Ibrahim berhubung langkah kementerian memastikan AI digunakan secara berhemah dan seimbang serta pemantauan keberkesanan penggunaannya.

Menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan, buku panduan yang disediakan bertujuan membantu para guru dan pelajar memanfaatkan teknologi AI secara berhemah, selaras dengan nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

Panduan berkenaan terang Yang Berhormat, akan memberi penekanan kepada aspek keselamatan digital, integriti akademik, penggunaan AI secara bertanggungjawab serta perlindungan data peribadi dalam konteks pengajaran dan pembelajaran.

“Penyediaan panduan tersebut juga adalah selaras dengan garis panduan tadbir urus dan etika AI yang dikeluarkan oleh Authority for Infocommunications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI), di samping mematuhi keperluan undang-undang berkaitan perlindungan data peribadi, iaitu Personal Data Protection Order (PDPO) di Negara Brunei Darussalam (NBD).

“Selain itu, pada Mei 2024, Kementerian Pendidikan telah melancarkan Rangka Kerja dan Buku Panduan Digital Citizenship, sebuah panduan yang bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta sikap dan nilai teras warga sekolah sebagai pengguna digital yang bertanggungjawab.

“Panduan ini memberi tumpuan kepada tiga kompetensi utama, iaitu pengetahuan (‘knowledge’), kemahiran (‘skills’) dan sikap serta nilai (‘attitude and values’) bagi memastikan penggunaan teknologi digital di sekolah diamalkan dalam persekitaran yang selamat dan beretika,” ujar Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat seterusnya menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan akan sentiasa memantau dan menilai penggunaan teknologi dan AI dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dimanfaatkan dengan selamat, berhemah dan seimbang.

​(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI