25.03.26 Jadikan kadar kebolehpasaran, kebolehkerjaan graduan sebagai KPI institusi

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Ahli MMN, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd. Salam mencadangkan agar kadar kebolehpasaran dan kebolehkerjaan graduan-graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dimasukkan sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) institusi untuk menilai kualiti keberkesanan dan impak sebenar institusi tersebut terhadap pembangunan modal insan negara sekali gus memastikan KUPU SB terus relevan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada hala tuju strategik negara.

Yang Berhormat juga menyambut baik kenyataan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada 19 Mac 2026 yang lalu mengenai perancangan untuk membangunkan ekosistem digital bagi pengurusan zakat termasuk penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

“Begitu juga inisiatif-inisiatif berasaskan teknologi yang dijelaskan semasa Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjawab soalan rakan-rakan sejawat Ahli-ahli Yang Berhormat Yang Dilantik sebentar tadi. Ini amat bertepatan dengan hala tuju Wawasan Brunei 2035 dan seiring dengan Pelan Transformasi Digital Brunei 2030 yang menekankan kecekapan perkhidmatan, integriti dan penyampaian yang berpusatkan rakyat.

“Berkaitan itu, kaola berpendapat transformasi digital selain ini zakat, wajar diperluaskan secara menyeluruh meliputi perkhidmatan-perkhidmatan teras ugama yang masih dilaksanakan secara manual di kementerian seperti pengurusan wakaf dan baitulmal, hal ehwal perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan halal, pendidikan dan juga dakwah,” tambah Yang Berhormat lagi.

Yang Berhormat turut mencadangkan agar Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama agensi-agensi yang relevan mempertimbangkan pembangunan satu platform sistem digital yang bersepadu bagi pengurusan perkhidmatan perkhidmatan ugama secara berpusat, bukannya dibina secara berasingan bagi setiap satu-satu jabatan.

Ini jelas Yang Berhormat akan menyokong pengurusan data yang lebih menyeluruh, pemprosesan maklumat dan pelaksanaan perkhidmatan yang lebih pantas, telus dan responsif.

Yang Berhormat yakin pendekatan ini mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, memperkukuh tadbir urus kementerian dan integriti data sekali gus mengangkat status perkhidmatan ugama di negara ini agar terus relevan dan ‘up to date’, mudah diakses dan berimpak tinggi setara dengan perkhidmatan-perkhidmatan yang lain.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI