25.03.26 20 peladang tempatan berjaya menghasilkan hampir 1 juta setahun

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 25 Mac. – Kebanyakan peladang tempatan, khususnya dalam kalangan 20 teratas yang dipantau, telah berjaya menghasilkan sekurang-kurangnya 200 ribu setahun, dengan ada yang mencecah hampir satu juta setahun hasil pengeluaran.

Perkara tersebut disampaikan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin pada hari kesembilan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, semasa menjawab soalan Ahli MMN, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, juga Ketua Kampung Bukit Sawat, Daerah Belait, berkenaan anggaran purata hasil pendapatan yang diperoleh para peladang tempatan serta kemampanannya untuk menampung kos operasi dan kehidupan harian.

Menurut Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, pendapatan peladang sangat bergantung kepada cara mereka mengusahakan ladang. Ada yang mengusahakan sepenuh masa yang mana intensif dan juga menggunakan teknologi yang tinggi, yang boleh mencapai produktiviti, walaupun mengatasi daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah diadakan, yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pertanian. Jadi peluang itu mesti ada. Jadi ia terpulang kepada pengusaha-pengusaha, peladang-peladang untuk mendapat keuntungan yang lebih.

Yang Berhormat seterusnya menambah bahawa terdapat usaha daripada peladang yang pandai memilih jenis sayur-sayuran yang teratas dari segi permintaan dan juga hasil. Dengan adanya permintaan yang tinggi, dan hasil yang tinggi akan boleh membantu mereka mencapai pendapatan yang baik.

Mengenai piawaian atau garis panduan untuk memastikan hasil tempatan berdaya saing dari segi kualiti, kesegaran, keselamatan makanan dan harga di pasaran, Yang Berhormat memaklumkan bahawa Jabatan Pertanian menggalakkan pengusaha untuk mengamalkan amalan pertanian yang baik.

Yang Berhormat seterusnya memaklumkan bahawa pihak kementerian dan Jabatan Pertanian turut menganjurkan untuk meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan dengan menggunakan racun perosak semula jadi berbanding racun perosak kimia.

Mengenai jenis-jenis hasil pertanian tempatan yang mencatatkan permintaan tinggi dalam kalangan pengguna, Yang Berhormat menjelaskan bahawa Jabatan Pertanian mengeluarkan senarai 20 teratas sayur yang mempunyai permintaan tinggi dan harga tinggi.

“Jadi ertinya, pengusaha-pengusaha boleh berunding dengan ‘bisdurang’, Jabatan Pertanian pun juga turun padang mengusulkan arah ‘bisdurang’ ‘ani’ yang mana yang baik harus ditanam untuk membolehkan ‘bisdurang’ ‘ani’ dapat mendapatkan hasil yang tinggi dan juga mendapat keuntungan yang tinggi,” jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat turut memaklumkan bahawa baru-baru ini, pihak kementerian telah memulakan inisiatif didorong eksport di mana para peladang digalakkan untuk mengembangkan pasaran ke luar negeri.

“Masa ‘ani’ yang diusahakan ialah untuk ke Republik Singapura. Jadi dengan adanya pasaran yang bertambah akan membolehkan ‘bisdurang’ meningkatkan pengeluaran. Di samping ‘atu’ jua, akan memastikan keselamatan makanan dalaman dan dalam masa yang sama menembusi pasaran luar negara.

“Sebanyak kira-kira 29 syarikat telah pun mendaftar berminat dalam program ‘ani’, Alhamdulillah,” ujar Yang Berhormat lagi.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI