18.03.26 Meningkatkan ‘reliability’ bekalan elektrik, menyokong pertumbuhan di Daerah Belait

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. – Projek 66Kv merupakan salah satu projek di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 yang melibatkan pembinaan talian penghantaran alternatif melalui pemasangan 22 buah ‘monopole’ sepanjang kira-kira 8 kilometer dari Substation Utama Panaga ke Substation Setia Diraja. Projek ini dilaksanakan menggunakan laluan asal talian penghantaran atau ‘o-lead’ yang telah lama diperuntukkan bagi tujuan infrastruktur bekalan elektrik antara kedua-dua ‘substation’ tersebut.

Laluan ini sebelum ini menempatkan talian penghantaran lama yang telah beroperasi lebih 50 tahun sebelum dihentikan operasinya pada tahun 2014 atas faktor keselamatan apabila struktur menara berkenaan didapati telah berkarat dan tidak lagi kukuh.

Pelaksanaan projek ini merupakan usaha menaiktaraf infrastruktur bekalan elektrik sedia ada bagi memastikan sistem terus beroperasi secara selamat dan berdaya harap memandangkan bekalan elektrik ke kawasan Kuala Belait pada masa ini bergantung kepada 1 laluan penghantaran utama. Projek ini juga meningkatkan ‘reliability’ bekalan elektrik serta menyokong pertumbuhan sektor perumahan, komersial dan industri di Daerah Belait. Penambahbaikan ini akan mengukuhkan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik bukan sahaja di Daerah Belait malah di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, Ketua Kampung Bukit Sawat, mengenai pelaksanaan Projek 66KV Transmission Cables di Kampung Pandan yang telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat, isu keselamatan dan kesan kesihatan.

Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II seterusnya menambah, dari segi penglibatan pihak berkepentingan beberapa Sesi Muzakarah telah diadakan pada peringkat awal pelaksanaan projek bersama penghulu-penghulu, ketua-ketua kampung dan ketua-ketua rumah panjang di Daerah Belait iaitu pada bulan Februari 2021 dan satu lagi pada tahun berikutnya bulan Februari juga 2022 dan Disember 2022, November 2023 di mana penerangan diberikan mengenai projek ini perkara berkaitan dengan koridor talian penghantaran.

“Ia adalah bertujuan bagi memastikan maklumat mengenai pelaksanaan projek dapat disampaikan kepada penduduk kampung melalui penghulu dan ketua-ketua kampung di bawah tadahan masing-masing.

“Seterusnya tiga Sesi Muzakarah khusus telah diadakan yang telah Disember 2024 hingga April 2025 yang dihadiri oleh wakil daripada Pejabat Daerah Belait, Jabatan Tanah, Jabatan Ukur, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, penghulu dan ketua-ketua kampung serta penduduk yang terlibat,” tambah Yang Berhormat semasa Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (2026/2027) pada hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi.

Dalam sesi tersebut, pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik telah memberikan penerangan mengenai pelaksanaan projek cabaran di tapak projek serta aspek keselamatan khusus bagi yang tinggal berhampiran laluan talian penghantaran tersebut. Dan satu lagi Sesi Muzakarah telah diadakan pada bulan Mei tahun lepas yang turut dihadiri oleh Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, wakil daripada Kementerian Pembangunan, Kementerian Kesihatan, Pejabat Daerah Belait, penghulu dan ketua kampung serta penduduk yang terlibat.

Tambah Yang Berhormat, pada sesi tersebut, pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik antaranya telah memberikan penerangan lanjut mengenai langkah-langkah keselamatan semasa pembinaan operasi dan penyelenggaraan talian penghantaran selaras dengan piawaian industri. Sehubungan itu, langkah-langkah mitigasi keselamatan seperti pemasangan pagar di lokasi-lokasi yang yang bersesuaian juga sedang diungkayahkan bagi memastikan keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan projek.

Semasa Sesi Muzakarah tersebut, pihak Kementerian Kesihatan juga memaklumkan bahawa setakat ini tidak ada kajian yang muktamad dan bukti saintifik yang menunjukkan bahawa gelombang ‘electromagnetic field’ daripada talian voltan tinggi memudaratkan kesihatan orang ramai. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, pihak Jabatan Perkhidmatan Elektrik turut menghadapi cabaran di tapak projek apabila 9 lokasi pembinaan ‘monopole’ didapati telah dimasuki tanpa kebenaran, termasuk pembinaan struktur serta penanaman pokok buah-buahan di beberapa laluan projek yang menyukarkan kerja-kerja pembinaan.

Sehubungan dengan itu, jelas Yang Berhormat, ingin ditekankan bahawa pencerobohan ke atas kawasan laluan utiliti awam tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan orang ramai dinasihatkan untuk memastikan sebarang pembinaan dibuat dengan kebenaran pihak berkuasa yang berkaitan. Berikutan cabaran tersebut, pihak JPE telah meneliti pilihan memindah lokasi bagi 9 ‘monopole’ yang terjejas ataupun menukar skop projek kepada pemasangan kabel voltan tinggi bawah tanah.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pilihan tersebut didapati tidak ‘viable’ memandangkan pelaksanaannya akan melibatkan lebih banyak tanah-tanah persendirian khususnya berikutan keperluan perubahan laluan bagi pelaksanaan tersebut.

Pihak jabatan akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan termasuk penduduk setempat bagi memastikan projek ini beroperasi secara selamat, telus dan berkesan mengikut perancangan. Segala cabaran dan pembelajaran daripada pelaksanaan ini, insyaaAllah akan dijadikan sebagai panduan bagi menambahbaik pelaksanaan projek-projek pada masa akan datang.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI