18.03.26 Langkah mitigasi menangani gangguan elektrik di Daerah Temburong

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. – Berkenaan gangguan bekalan elektrik Daerah Temburong pada tahun 2025 khususnya pada bulan Ogos, adalah berpunca daripada beberapa faktor di pertingkat sistem penjanaan dan juga sistem pembahagian elektrik. Hasil penilaian terperinci telah dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE) bagi memastikan isu ini dapat ditangani dengan berkesan.

Dari aspek sistem penjanaan, antara punca utama adalah keadaan prasarana di stesen janakuasa Belingus, Temburong yang telah beroperasi lebih 40 tahun dan memerlukan kerja-kerja pembaikan serta pengoptimuman operasi di samping kerja-kerja penyelenggaraan berjadual bagi memastikan prestasi sistem yang lebih stabil dan yang berdaya tahan, berdaya harap. Pada masa ini, 4 daripada 5 jentera diesel penjanaan telah pun beroperasi sekali gus membantu menstabilkan bekalan elektrik sementara penyelasaian jangka panjang dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estate dan Piasau-Piasau, berkenaan dengan rungutan ketidakstabilan bekalan elektrik di beberapa kawasan di Daerah Temburong masih berterusan di mana keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskan keselesaan kehidupan harian penduduk serta kegiatan ekonomi setempat.

Pada Perbahasan Peringkat Jawatankuasa Perbekalan bagi Rang Undang-Undang Perbekalan (2026/2027) pada hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II seterusnya menambah, dari aspek sistem pembahagian, 72 peratus punca adalah disebabkan oleh aset dan kabel yang telah berusia. Manakala selebihnya berpunca dari faktor persekitaran lain. Secara keseluruhannya, kekerapan gangguan bekalan elektrik di Daerah Temburong, masih menunjukkan trend yang memerlukan perhatian dan intervensi yang lebih menyeluruh.

Bagi menangani gangguan bekalan elektrik tersebut, jelas Yang Berhormat, pihak JPE telah melaksanakan langkah mitigasi termasuk penyediaan genset bergerak, pembaikan serta penstabilan operasi di Stesen Janakuasa Belingus yang siap pada 12 September 2025 yang lalu. Tumpuan turut diberikan kepada kawasan yang terjejas seperti Mukim Batu Apoi, Bokok, Amo dan Bangar bagi memastikan pemulihan bekalan yang lebih berkesan. Sebagai langkah kesiapsiagaan susulan insiden ini, pihak JPE telah memperkukuhkan pelan kesinambungan operasi, ‘business continuity plan’ termasuk memastikan ketersediaan genset bergerak bagi mendukung bekalan elektrik kepada sektor-sektor kritikal sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

“Manakala dari segi penyelesaian jangka panjang, projek sistem penghantaran 66kV Mentiri-Peradayan merupakan projek strategik utama di bawah Rancangan Kemajuan Negara Ke-12. Projek ini akan menghubungkan Daerah Temburong secara terus dengan gred utama negara sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penjanaan tempatan semata-mata dan meningkatkan kestabilan serta kebolehpercayaan elektrik di Daerah Temburong.

“Pelaksanaan projek ini juga mengambil kira sinergi pembangunan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien telah membuka akses lojistik yang lebih cekap bagi kerja-kerja pelaksanaan infrastruktur penghantaran merentasi teluk Brunei. Ini membolehkan pelaksanaan projek sistem penghantaran tersebut dilaksanakan dengan reka bentuk yang lebih optimum serta kaedah pelaksanaan yang lebih efisien dari segi kos dan masa,” jelas Yang Berhormat.

Pada masa ini, tambah Yang Berhormat, projek Mentiri-Peradayan berada pada tahap kesiapan sekitar 92 peratus dan dijangka siap serta mula beroperasi pada suku ketiga tahun 2026 ini. Projek ini turut melibatkan penambahbaikan rangkaian bekalan elektrik termasuk komponen sistem 11kV yang penting bagi memperkukuh bekalan elekrik ke kawasan tadahan yang sebelum ini lebih terdedah kepada gangguan. InsyaaAllah, dengan siapnya komponen ini, isu gangguan bekalan elektrik di kawasan-kawasan yang terjejas akan dapat dikurangkan secara lebih menyeluruh.

Selain itu, beberapa projek lain di bawah RKN12 termasuk kerja-kerja penggantian kabel usang serta pengukuhan rangkaian pembahagian turut sedang dilaksanakan secara berperingkat bermula suku keempat tahun 2025 yang lalu hingga suku ketiga tahun 2027 nanti bagi meningkatkan lagi kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik di Daerah Temburong. InsyaaAllah, langkah-langkah yang diambil ini akan mengukuhkan tahap kestabilan dan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Daerah Temburong yang akan dapat dipertingkatkan secara lebih menyeluruh dengan mencapai tahap yang dihasratkan.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI