18.03.26 Komited memperkukuh sistem pengesanan awal penyakit berjangkit

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 18 Mac. – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan Kementerian Kesihatan sentiasa komited dalam memperkukuh sistem pengesanan awal penyakit berjangkit di negara ini.

Menjawab kepada soalan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial@Tekpin bin Yaákub, Penghulu Mukim Ukong pada perbahasan hari ketujuh Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan, pada masa ini, sistem surveilan penyakit berjangkit beroperasi melalui beberapa mekanisme utama.

Pertama, ujar Yang Berhormat, sistem laporan penyakit berjangkit di bawah perintah penyakit berjangkit mewajibkan semua pengamal perubatan dan makmal melaporkan kes-kes penyakit berjangkit yang diwartakan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit ataupun CDC.

Laporan ini disokong oleh Sistem Surveilan Kesihatan Awam ataupun Public Health Surveillance System (PHS) yang membolehkan pengumpulan, analisis dan pemantauan data kes penyakit berjangkit secara hampir masa nyata ataupun ‘near real time’.

Sistem PHS ini membolehkan pengesanan trend dan kluster kes dengan lebih pantas seterusnya mempercepatkan tindak balas kesihatan awam, jelas Yang Berhormat.

Kedua tambah Yang Berhormat, bagi mengukuhkan lagi keupayaan pengesanan awal, kementerian sedang melaksanakan sistem Electronic Public Health Emergency Management, (EPHEM) dengan sokongan teknikal daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO).

“Sistem EPHEM ini merupakan platform ‘evidence-based surveillance’ yang melengkapkan sistem PHS sedia ada dengan membolehkan pengesanan isyarat awal wabak daripada pelbagai sumber, termasuk maklumat daripada komuniti dan media.

“Sebuah bengkel latihan pakar bersama WHO dari WPRO dijadualkan pada bulan Mei tahun ini bagi melatih pegawai-pegawai kesihatan awam dalam penggunaan sistem ini,” terang Yang Berhormat.

Yang Berhormat menambah, kapasiti makmal kita turut diperkukuh melalui makmal rujukan kebangsaan yang mampu menjalankan ujian diagnostik bagi pelbagai patogen berjangkit termasuk ujian ‘molecular’ dan ‘genomic’ bagi menyokong pengesanan dan pengesahan wabak dengan lebih pantas.

Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam kekal aktif sebagai pusat tumpuan kebangsaan bagi Peraturan Kesihatan Antarabangsa ataupun IHR dan terus bekerjasama rapat dengan WHO serta rangkaian ‘surveillance’ serantau ASEAN bagi pengongsian maklumat dan amaran awal.

“Tapi apa yang penting dalam pengesanan awal ani ialah orang ramai sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan keadaan sekeliling sentiasa bersihlah. Jadi ani bukan saja, apa ni, Kementerian Kesihatan, jadi perlu kerjasama daripada semua orang,” tegas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI