BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa setiap individu berhak mendapatkan rawatan di hospital tanpa sebarang halangan.
Bagi pesakit yang menghadapi kesukaran kewangan, ujar Yang Berhormat, pihak hospital akan terlebih dahulu membuat penelitian terhadap keadaan pesakit dan latar belakang keluarga dan sekiranya keluarga mempunyai kemampuan, mereka boleh membantu melunaskan bil sama ada secara tunai atau melalui ansuran.
“Namun, jika hasil penilaian menunjukkan pesakit dan keluarga benar-benar tidak mampu, pesakit akan dirujuk kepada Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan. Di sinilah permohonan bantuan akan diproses melalui skim-skim sedia ada seperti Skim Kebajikan Negara (SKN) dan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB).
“Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan akan membuat penilaian lebih terperinci, termasuk lawatan ke kediaman pesakit dan semakan status kewangan. Jika didapati pesakit atau keluarga masih mampu, bayaran ansuran akan diaturkan,” terang Yang Berhormat semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat, berhubung dengan tindakan kementerian dalam menangani ketidakmampuan kewangan bagi individu yang menghadapi halangan mendapatkan rawatan selain kemudahan bayaran ansuran dan skim bantuan sedia ada.
Pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat seterusnya menyatakan bagi pesakit yang sudah menerima bantuan JUZWAB atau SKN, mereka tetap boleh dirujuk untuk permohonan tambahan bagi melunaskan bil perubatan.
Jelas Yang Berhormat lagi, sekiranya permohonan bantuan ditolak oleh agensi berkaitan, hospital akan menggunakan Tabung Amal Bantuan Pesakit – tertakluk kepada baki tabung tersebut – bagi memastikan pesakit tetap mendapat rawatan.
“Bagi memastikan proses permohonan bantuan dilaksanakan dengan teratur, pihak hospital akan memastikan semua dokumen sokongan dikemukakan, termasuk maklumat insurans, borang aku janji, butiran perbelanjaan bulanan, serta dokumen pengenalan pesakit dan penjamin.
“Dengan langkah-langkah ini, Kementerian akan dapat memastikan bahawa pesakit yang benar-benar tidak berkemampuan tetap mendapat rawatan tanpa halangan,” terang Yang Berhormat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


