17.03.26 Memastikan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan secara berhemah, berdisiplin, berintegriti

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya telah merangka pelaksanaan anggaran perbelanjaannya berpandukan kepada tiga keutamaan belanjawan negara yang telah ditetapkan.

Dalam mendukung keutamaan belanjawan yang pertama, iaitu memperkukuh kestabilan fiskal dan tadbir urus kewangan, JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan terus melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan pengurusan kewangan kerajaan dilaksanakan secara berhemah, berdisiplin dan berintegriti.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof, dalam Perbahasan Peringkat Dasar pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.

Menurut Yang Berhormat, penekanan akan terus diberikan kepada prinsip ‘value for money’ bagi setiap peruntukan agar perbelanjaan kerajaan memberikan manfaat optimum kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat dan penduduk secara berterusan.

Sehubungan itu tambah Yang Berhormat, pelbagai program dan inisiatif akan dilaksanakan bagi memperkukuh amalan tadbir urus kewangan yang cemerlang dan meningkatkan keberkesanan penyampaian sektor awam selaras dengan program pengukuhan fiskal negara.

Dalam masa yang sama jelas Yang Berhormat, JPM melalui Jabatan Audit dan Unit Audit Dalaman akan terus melaksanakan pengauditan terhadap akaun-akaun yang dikenal pasti bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan kewangan, prosedur yang ditetapkan serta surat-surat keliling yang berkuat kuasa sekali gus memelihara tahap akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan.

Di samping itu ujar Yang Berhormat, usaha memperkukuh pengurusan fiskal yang cekap, telus dan berakauntabiliti akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tadbir urus kewangan negara kekal mampan dan berdaya tahan.

Menurut Yang Berhormat lagi, sebagai sebahagian daripada langkah kecekapan meningkatkan perbelanjaan kerajaan, JPM melalui Jawatankuasa Keselamatan Negara melaksanakan pendekatan perolehan secara berskala besar melalui kaedah Fiscal Consolidation bagi mengoptimumkan penggunaan sumber kewangan negara.

Dalam hubungan ini terang Yang Berhormat, Belanjawan Tahun Kewangan 2026/2027 menyediakan peruntukan bagi fasa pertama projek penyewaan 534 buah kenderaan untuk kegunaan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Biro Kawalan Narkotik (BKN) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) yang juga akan diperluaskan kepada agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan yang lain dalam masa terdekat.

Terdahulu itu, Yang Berhormat menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia perkenan bagi penyediaan peruntukan sebanyak BND543,640,540, iaitu sebanyak BND319,635,230 bagi Gaji Kakitangan dan sebanyak BND224,5310,000 bagi Perbelanjaan Berulang-ulang.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI