BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 17 Mac. – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar menyatakan keadaan kesihatan mental memerlukan penilaian klinikal yang menyeluruh sebelum rawatan dimulakan, bagi memastikan diagnosis yang tepat dan pengurusan yang selamat.
Pada masa ini, tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan, penyakit yang lazim seperti kemurungan dan gangguan kebimbangan boleh diuruskan di peringkat pusat kesihatan, termasuk di klinik swasta.
“Ubat antidepresan juga tersedia di beberapa klinik swasta di Negara Brunei Darussalam, dengan syarat, pesakit berada di bawah jagaan doktor berkelayakan serta mendapat rawatan susulan yang sewajarnya. Bagi keadaan yang lebih kompleks seperti gangguan psikotik dan gangguan bipolar, rawatan memerlukan penilaian pakar, permulaan yang teliti dan pemantauan berterusan.
“Kes-kes ini lebih sesuai diuruskan dalam perkhidmatan kesihatan mental pakar, bagi menjamin keselamatan pesakit dan kesinambungan rawatan,” terang Yang Berhormat semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee mengenai kementerian akan mempertimbangkan untuk memperluas akses ubat kesihatan mental tertentu ke farmasi atau klinik swasta, khususnya bagi pesakit yang memerlukan rawatan alternatif atau jangka panjang melebihi rawatan barisan pertama.
Pada hari keenam Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini, Yang Berhormat seterusnya menyatakan bahawa Kementerian Kesihatan sentiasa menyokong pendekatan holistik dalam menangani isu kesihatan mental.
Rawatan yang disediakan adalah berasaskan amalan berasaskan bukti, termasuk rawatan psikiatri, kaunseling dan intervensi psikososial yang dikendalikan oleh profesional terlatih.
Dalam masa yang sama, jelas Yang Berhormat, negara juga meneroka pendekatan sokongan lain yang selaras dengan nilai agama dan budaya setempat.
Kongsi Yang Berhormat, kerjasama telah dijalankan bersama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dalam pembangunan modul berkaitan rawatan berteraskan kerohanian sebagai pelengkap kepada rawatan sedia ada.
Pendekatan ini masih dalam peringkat pembangunan dan penelitian, dan sebarang pelaksanaan rasmi akan tertakluk kepada penilaian teliti bagi memastikan keselamatan, keberkesanan dan kesesuaiannya dengan kerangka perkhidmatan kesihatan negara.
“InsyaaAllah, dengan gabungan rawatan klinikal, psikososial dan sokongan berteraskan nilai setempat, usaha memperkukuh kesihatan mental akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat,” ujar Yang Berhormat.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


