BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas peruntukan yang disokong bagi Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri untuk Tahun Kewangan 2026/2027 berjumlah dalam lingkungan BND124 juta.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.
Dengan peruntukan tersebut, kementerian akan terus melaksanakan tugas dalam memperkukuh kepentingan serta dasar luar Negara Brunei Darussalam melalui diplomasi dua hala dan pelbagai hala bagi menjamin kemakmuran, keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurutnya, landskap antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini berubah dengan pantas, manakala keadaan geopolitik dan geoekonomi semakin kompleks serta tidak menentu.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa pembukaan MMN tahun ini bahawa negara perlu sentiasa peka terhadap pergolakan geopolitik antarabangsa dan kesannya terhadap cabaran ekonomi global.
Menyentuh situasi semasa, Yang Berhormat menyatakan kebimbangan terhadap konflik di rantau Timur Tengah melibatkan Amerika Syarikat bersama rejim zionis dan Republik Islam Iran.
Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri katanya, telah mengeluarkan kenyataan yang mengutuk keras tindakan tersebut serta mengesali bahawa peperangan itu turut melibatkan serangan balas terhadap negara-negara jiran Republik Islam Iran.
Sehubungan itu, usaha diplomatik telah diambil dengan negara-negara yang terkesan.
Yang Berhormat turut mengadakan panggilan telefon kepada menteri-menteri luar termasuk dari Oman, Qatar, Kuwait, Bahrain, Arab Saudi, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu bagi menyatakan kebimbangan mendalam serta solidariti Negara Brunei Darussalam.
Pada masa yang sama, Negara Brunei Darussalam bekerjasama dengan negara-negara ASEAN untuk mengeluarkan kenyataan bersama yang menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan ketegangan tersebut.
Negara Brunei Darussalam juga bertindak sebagai penaja bersama satu resolusi di Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung tindakan Republik Islam Iran terhadap Negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC).
Yang Berhormat menegaskan bahawa peningkatan ketegangan ini bukan sahaja menjejaskan kedaulatan dan integriti wilayah negara-negara terlibat, malah memberi impak serius dan berpanjangan terhadap kestabilan serantau dan global.
Selain itu, persaingan antara kuasa-kuasa besar dan pertikaian perdagangan turut memberi kesan kepada ekonomi serantau dan global, manakala perubahan pendekatan dasar luar negara kuasa besar menjejaskan aturan antarabangsa sedia ada.
Konflik antara Ukraine dan Persekutuan Rusia serta konflik di Palestin juga masih berlarutan dan menunjukkan perkembangan yang semakin tegang.
Dalam perkara ini, Negara Brunei Darussalam terus menegaskan pendirian menentang penggunaan kekerasan dan menyeru supaya undang-undang antarabangsa serta prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dihormati sepenuhnya.
Negara Brunei Darussalam juga menggesa semua pihak agar menahan diri, menghentikan persengketaan serta mengutamakan dialog dan diplomasi demi memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)


