16.03.26 Pengukuhan ekosistem rantaian nilai bersepadu sumbang peningkatan signifikan KDNK

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Program Diversification of Species melalui penubuhan fasiliti penternakan ikan seperti ikan pompano, ikan kerapu, ikan merah dan juga selain daripada ikan selongsong dengan menggunakan teknologi seperti Recirculating Aquaculture Systems (RAS) dan Restocking Program dalam pelepasan benih udang galah di perairan Brunei Darussalam bagi mendukung meningkatkan populasi udang galah liar secara berperingkat bagi jangka masa panjang.

Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin pada Perbahasan Peringkat Dasar bagi Rang Undang-undang dan Usul Ketetapan Kumpulanwang Kemajuan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Tahun 2026, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Seterusnya, meningkatkan biosekuriti ladang di ladang-ladang pertanian dan perikanan dengan melaksanakan pensijilan Brunei Good Agriculture Practice (BGAP), Brunei Good Husbandry Practice (BGAHP), dan Brunei Good Aquaculture Practice (BGAqP) untuk memastikan aktiviti-aktiviti pertanian dan perikanan dijalankan dengan selamat, bertanggungjawab dan mampan dengan memberi penekanan kepada keselamatan makanan dan kesihatan ternakan dan menggalakkan peralihan kepada penggunaan sumber tenaga solar teknologi aqua-photovoltaic yang diintegrasikan dengan aktiviti penternakan di kolam seperti yang dilaksanakan oleh salah sebuah syarikat aquaculture di negara ini.

Melalui trajektori pertumbuhan yang positif dan pengukuhan ekosistem rantaian nilai secara bersepadu terang Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, sektor ini dijangka akan memberi sumbangan yang signifikan terhadap peningkatan KDNK, mengukuhkan sekuriti makanan serta nilai eksport negara.

Selaras dengan aspirasi negara untuk meningkatkan pengeluaran daripada sektor makanan, pelaksanaan strategi juga menumpukan pertumbuhan industri primer dan hiliran dilaksanakan dengan menarik penglibatan Syarikat-syarikat Pelaburan Langsung Asing serta syarikat berkaitan kerajaan (GLCs) untuk memperkukuhkan ekosistem rantaian nilai industri makanan.

Ini, nyata Yang Berhormat, merangkumi penghasilan bahan input, penerokaan sumber bekalan dari pelbagai negara lain, peningkatan kapasiti dan kepakaran, dan pelaksanaan pembangunan dan penyelidikan.

Inisiatif berkenaan bukan saja menggalakkan aktiviti ekonomi negara tetapi juga membuka peluang pekerjaan bagi anak-anak tempatan untuk memilih bidang pertanian dan perikanan sebagai pilihan kerjaya.

Pada masa yang sama Yang Berhormat menerangkan, pelaksanaan dan pengukuhan ekosistem rantaian nilai industri makanan, ‘export drive initiatives’ telah dilaksanakan untuk meningkatkan lagi sektor hiliran dan pemprosesan.

Inisiatif berkenaan dilaksanakan untuk memberikan sokongan kepada para pengusaha yang terlibat dalam rantaian nilai, merangkumi fasa pra-pengeluaran hingga akses pasaran.

Dengan inisiatif tersebut, terdapat beberapa program yang dilaksanakan termasuk Program Product Enhancement, Program Penambahbaikan Bahan Input dan Sistem Penyimpanan, Penyediaan Tapak dan Program Peningkatan Kapasiti.

Dalam usaha ke arah memperkukuhkan keluaran beras dan padi negara yang terus berkembang, kementerian ini akan meneruskan inisiatif penyelidikan padi bagi mengenal pasti varieti padi yang unggul, berhasil tinggi dan memenuhi cita rasa pengguna di negara ini, ujar Yang Berhormat.

Dengan ini, sebuah fasiliti pusat penyelidikan padi telah ditubuhkan bagi melaksanakan program penyelidikan komprehensif dalam pembiakan padi hibrid serta teknik penanaman pertanian mampan yang dibiayai di bawah perancangan peruntukan Rancangan Kemajuan Negara Ke-12 dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2027.

Kementerian juga katanya, masih dalam peringkat perundingan bersama negara jiran untuk menerokai peluang-peluang penanaman padi bagi menjamin sekuriti makanan negara ini.

Dari segi prestasi eksport, secara keseluruhan nilai eksport makanan bagi tahun 2025 adalah sekitar BND13 juta.

Nilai eksport sektor pertanian dan agrimakanan telah mencatatkan peningkatan sekitar 52.4 peratus berbanding dengan tahun 2024 dengan komoditi-komoditi tertinggi ialah makanan ternakan dan telur ayam yang masing-masing menyumbangkan sebanyak 55 peratus dan 43 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport.

Pada tahun 2025, secara keseluruhannya nilai eksport bagi produk-produk yang berasaskan pertanian dan agrimakanan adalah sebanyak 4.7 tan metrik dengan nilai mencapai BND7.68 juta.

Sekitar 22 juta biji telur ayam dengan nilai BND3.3 juta telah dieksport ke Republik Singapura.

Selain itu, beberapa produk agrimakanan baharu keluaran syarikat tempatan juga telah berjaya dieksport ke Republik Singapura dan negeri jiran, Sabah.

Bagi nilai eksport sektor perikanan adalah sebanyak 3.4 metrik tan berjumlah, bernilai sebanyak BND5.68 juta dengan tiga komoditi tertinggi iaitu tuna, udang dan ikan selongsong yang masing-masing menyumbang sebanyak 70 peratus, 11 peratus dan 10 peratus.

Yang Berhormat juga memberitahu selain itu, produk perikanan yang berjaya menembusi pasaran eksport baharu ialah Tilapia Marine ke Amerika Syarikat.

Kejayaan penembusan pasaran antarabangsa ini mencerminkan keberkesanan inisiatif strategik kementerian dalam memperkasa pengusaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan di negara ini.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI