16.03.26 Pembangunan kemahiran penting untuk pertumbuhan ekonomi negara

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Sejak tahun 2020, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Graduate Employment Study dan Employer Satisfaction Survey bagi menilai kadar kebolehpasaran graduan enam bulan selepas tamat pengajian, serta tahap kepuasan majikan terhadap prestasi graduan selepas enam bulan bekerja.

Demikian penjelasan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, semasa menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Awang Haji Md. Yusof pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

“Kajian-kajian ini menjadi instrumen penting untuk memantau keberkesanan program yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi (IPTA) dan memastikan kesesuaian program dengan keperluan pasaran tenaga kerja,” jelas Yang Berhormat Menteri Pendidikan.

Menurut Yang Berhormat, bagi memperkukuh pendekatan berasaskan data tersebut, kementerian akan melaksanakan Feature Analysis Model (FA Model) secara lebih tersusun di seluruh IPTA.

Model ini menilai program secara menyeluruh merangkumi tiga komponen utama, iaitu Input, Process dan Output.

Komponen Input merangkumi permintaan terhadap program seperti bilangan pemohon pilihan pertama.

Sementara, komponen Process pula melibatkan kadar tamat pengajian dan kos setiap pelajar.

Manakala komponen Output menilai kadar kebolehpasaran graduan dalam tempoh enam bulan, relevansi pekerjaan serta gaji median graduan.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa melalui pendekatan tersebut, kementerian dapat mengenal pasti program yang berprestasi tinggi, program yang memerlukan penambahbaikan, serta program yang perlu disusun semula atau ditambah baik agar lebih selaras dengan keperluan pasaran tenaga kerja dan hala tuju pembangunan negara.

“Bermula tahun 2024, beberapa siri perjumpaan, mesyuarat dan bengkel telah diadakan bersama IPTA dan institusi TVET serta agensi-agensi berkepentingan bagi menghasilkan Feature Analysis Model yang insyaaAllah akan mula digunakan pada tahun ini,” ujar Yang Berhormat.

Walau bagaimanapun, jelas Yang Berhormat, penilaian melalui Feature Analysis Model sahaja tidak memadai, selain memastikan kualiti dan relevansi program, kita juga perlu melihatnya dalam konteks peralihan struktur ekonomi negara yang sedang berlaku.

Beberapa faktor lain seperti kemahiran masa depan didorong oleh kemajuan teknologi yang pantas, anjakan demografi, ‘Green Transition’, ketidaktentuan ekonomi, geopolitik dan pandemik. ‘Kemahiran Menyeluruh’ perlu diwujudkan dengan menggabungkan kepakaran teknikal dengan kepakaran berpaksikan manusia seperti pemikiran kritis, daya tahan dan kreativiti.

“Cabaran ini perlu dilihat dalam kerangka pelaksanaan Economic Blueprint, yang menekankan pembangunan sektor pertumbuhan dan pengukuhan daya saing ekonomi negara,” ujar Yang Berhormat lagi.

Justeru itu, selain memastikan program sentiasa relevan, kementerian turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran lain seperti keusahawanan dan keupayaan inovasi agar graduan bukan sahaja menjadi pencari pekerjaan, tetapi juga pemangkin penciptaan nilai dan pertumbuhan baharu dalam ekonomi negara.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI