16.03.26 Kestabilan domestik, perlindungan kebajikan rakyat diutamakan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Mac. – Tidak dinafikan kos sara hidup telah meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan fenomena tersebut bukan sahaja berlaku di Negara Brunei Darussalam malah turut dialami oleh negara-negara lain di seluruh dunia.

Sebahagian besar peningkatan tersebut berpunca daripada gangguan rantaian bekalan dunia (‘global supply chain’) serta ketidaktentuan harga tenaga akibat ketegangan geopolitik yang secara langsung juga memberi impak kepada ekonomi negara.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Lau How Teck mengenai pertumbuhan kos sara hidup dan pendapatan sebenar rakyat serta dasar fiskal kerajaan pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-22 MMN Tahun 2026, bertempat di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, dalam menghadapi tekanan antarabangsa tersebut, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus mengambil langkah berhemah bagi memastikan kestabilan domestik dan perlindungan kebajikan rakyat khususnya bagi golongan yang memerlukan.

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan bahawa kenaikan harga barangan pengguna akibat rantaian bekalan dan peningkatan kos import boleh memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

Namun demikian terangnya, kerajaan akan terus mengurangkan beban kos sara hidup khususnya melalui pengekalan harga barangan bersubsidi seperti beras dan bahan api pada tahap yang sedia ada.

“Tanpa sokongan subsidi ini, tambah Yang Berhormat, rakyat akan lebih terkesan oleh tekanan inflasi sebagaimana yang dialami di kebanyakan negara lain,” tambah Yang Berhormat.

Walau bagaimanapun, bantuan dan subsidi perlu disasarkan secara lebih terarah kepada golongan yang benar-benar memerlukan dengan memanfaatkan Sistem Kebajikan Negara (SKN) bagi memastikan keberkesanan serta keadilan pengagihan.

Selain itu, pihak kerajaan turut menyediakan perlindungan sosial bagi golongan yang terkesan melalui beberapa inisiatif, antaranya ialah jaminan gaji minimum dan kebajikan pekerja, di mana kerajaan komited melindungi hak pekerja termasuk pekerja sambilan melalui Akta Perintah Pekerja Penggal 278.

“Langkah tersebut merangkumi penguatkuasaan perintah pekerjaan upah minimum bagi mengelakkan bayaran gaji yang terlalu rendah serta memastikan kebajikan majikan dan pekerja sama-sama terjaga,” ujar Yang Berhormat.

Yang Berhormat menambah, bagi memastikan kesejahteraan pekerja di hari persaraan, Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) telah diperkenalkan dan diwajibkan bagi semua pekerja tempatan di sektor formal termasuk pekerja sambilan untuk menjamin simpanan hari tua, sementara bagi pekerja ‘gig’, caruman kepada SPK adalah secara sukarela selaras dengan amalan di negara-negara lain.

Dalam pada itu, bagi memastikan pasaran kerja yang mampan, kerajaan menekankan pendekatan yang bersepadu termasuk kerjasama rapat bersama dengan pihak industri seperti menyelaraskan latihan agar relevan dengan keperluan industri, membangunkan saluran kemahiran untuk tempoh sederhana iaitu 2 hingga 5 tahun; melaksanakan proses tempatan pekerja tempatan, ‘localization’ secara berperingkat dengan penanda aras yang jelas dan sistematik.

Kerajaan juga katanya, terus giat menarik pelaburan langsung asing berkualiti dalam beberapa sektor keutamaan untuk menjana peluang pekerjaan yang melampaui kapasiti ekonomi semasa.

Sepertimana dirumuskan semasa pembentangan kertas cadangan Rang Undang-Undang Pembekalan bagi Tahun 2026/2027 pada 14 Mac 2026 yang lalu, beberapa projek FDI kini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka akan menawarkan banyak peluang pekerjaan bagi anak tempatan apabila beroperasi sepenuhnya nanti.

Langkah-langkah ini akan membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya bagi menangani impak kos sara hidup yang meningkat.

(sumber berita & gambar: Pelita Brunei)

BERITA TERKINI